Wawancara

100 Hari Zairil di DUN Pulau Pinang

Ketika nama Zairil Khir Johari mula meletup sebagai Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; saya mencarinya di Facebook dan menghantar mesej ringkas mengucapkan tahniah atas tindakan beraninya menyertai DAP, sebuah parti yang dihantui persepsi ‘parti Cina’.

Dari kedudukan setpol Guan Eng, kemudian menyertai Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) dan selanjutnya menjadi Ahli Parlimen Bukit Bendera, seperti tidak cukup nafas kita mengikuti jejak politik anak kepada Tan Sri Khir Johari ini.

Zairil kini memikul tanggungjawab besar sebagai exco kerja raya, utiliti dan tebatan banjir dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Beliau sempat mengambil sedikit masa untuk menjawab beberapa soalan bersempena 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

100 hari Malaysia Baharu, apa maknanya buat saudara, terutamanya sebagai Exco P. Pinang?

Era Malaysia Baharu ini sangat bermakna kepada saya. Dari segi peribadi, ia menandakan pencapaian matlamat yang sudah lama diperjuangkan – iaitu untuk menegakkan demokrasi dan pembaharuan di negara ini. Dari segi kerjaya sebagai Exco di Pulau Pinang, ia bermakna bahawa Kerajaan Negeri dapat mengharapkan kerjasama dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan yang selama ini dinafikan.

Apa benda baharu di Pulau Pinang yang akan membezakan pentadbiran pasca 9 Mei?

Yang paling ketara adalah dari segi infrastruktur. Selama ini banyak projek infrastruktur yang dihalang atau sengaja dilambatkan oleh Kerajaan Persekutuan atas kepentingan politik semata-mata. Contohnya RTB Sg Pinang yang telah diluluskan dalam RMK-9 lagi. Setelah hampir 20 tahun, tiada pelaksanaan. Kini Kerajaan Persekutuan baharu telah pun mengumumkan bahawa tender akan dilakukan bagi projek tersebut dalam masa terdekat. Kita juga boleh mengharapkan kelulusan untuk projek LRT dan sebagainya.

Melayu dan Muslim dalam Malaysia Baharu berdepan banyak cabaran, apa cabaran yang paling menggugat dan bagaimana ini boleh ditangani?

Cabaran paling besar adalah naratif UMNO dan PAS yang akan cuba untuk meracun pemikiran orang Melayu-Islam. Mereka akan cuba menggambarkan seolah-olah hak Melayu dan status Islam terjejas dalam pentadbiran Pakatan Harapan. Kerana ketandusan modal dan bagi menutupi segala kerakusan dan salah guna kuasa mereka selama ini, sentimen ini akan dimainkan. Adalah penting rakyat tidak terumpan dengan tohmahan tidak berasas mereka.

Bagaimanakah ideologi DAP berfungsi dalam merangka dasar Malaysia Baharu?

Ideologi DAP adalah berdasarkan persaudaraan dan kesaksamaan sosial. Ini bermaksud membantu golongan terbawah, golongan tertindas dan memastikan kekayaan negara diagihkan secara saksama. Dasar Malaysia Baharu saya percaya akan merangkumi prinsip-prinsip yang sama. Kerana itulah GST dimansuhkan manakala bantuan sara hidup diteruskan. Sebaliknya, dasar BN selama ini hanya mementingkan golongan elit, golongan kroni dan bertujuan untuk memperkayakan diri sendiri sahaja.

Apa pendapat tentang masa depan DAP dalam gabungan Pakatan Harapan? Orang mendakwa DAP adalah MCA dalam Harapan, apa respon?

Bagaimana pula DAP boleh disamakan dengan MCA sedangkan DAP adalah parti berbilang kaum. MCA adalah parti orang Cina semata-mata. Di dalam Pakatan Harapan, semua pihak adalah setara dan kita bergerak berlandaskan penghormatan antara satu sama lain. MCA hanya kuda tunggangan UMNO selama ini di dalam BN.

Apa pendapat saudara tentang Tun Mahathir pasca Malaysia Baharu?

Tun Mahathir amat mengagumkan. Susah nak bayang, orang yang berusia 93 tahun mampu lagi bekerja dengan begitu kuat. Saya percaya motivasinya hanya satu – untuk memperbetulkan negara kita demi masa depan generasi akan datang.

Apa pendapat saudara tentang keterlibatan orang muda dalam membangun dan mengisi Malaysia Baharu?

Malaysia adalah negara milik orang muda. Hampir 45% populasi negara kita berusia kurang daripada 25 tahun. Ini bermaksud orang muda mempunyai tanggungjawab yang amat penting. Kerana itu saya menyokong penglibatan orang muda bukan sahaja dalam politik tetapi juga dalam aktivisme sosial.

Boleh kongsikan tempat makan paling sedap yang orang tak tahu di Pulau Pinang?

Mmmm kari kepala ikan Pak Din di Tanjong Bungah.

Ada pesanan untuk para peminat di luar sana?

Pembaharuan yang berlaku pada 9 Mei 2018 bukan hasil usaha ahli politik semata-mata. Ia adalah hasil harapan dan impian seluruh rakyat Malaysia yang mahukan masa depan yang lebih baik. Don’t stop believing.