Berita

Dalam Salju Ada Bunga, buah tangan terbaru Steven Sim

Siapa menyangka pemimpin DAP yang pernah menjadi mangsa dituduh tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik hari ini membuat kejutan apabila melancarkan buku puisinya yang pertama berjudul Dalam Salju Ada Bunga.

Buku puisi karya Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong itu dilancarkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof hari ini.

Ia menghimpunkan 10 puisi yang ditulisnya sejak tahun 2003 sehingga sekarang berlatar belakangkan sosia-politik tanah air.

“Bahasa sering dijadikan senjata untuk menghentam, memfitnah dan memecah belahkan masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan Bahasa. Paling menakutkan, Bahasa sering digunakan untuk mengongkong pemikiran rakyat.

“Menerusi buku ini, saya ingin mengetengahkan luahan isi hati saya tentang negara kita, pahit manis, harapan dan kekecewaan.

“Buku puisi ini diharap dapat menutup mulut pihak tertentu yang selama ini menuduh pemimpin DAP anti bahasa Melayu,” kata Steven.

Menurut beliau, sastera dan bahasa merupakan penghubung dan penyuluh sebagai pencerahan pemikiran masyarakat dan berharap sastera akan menjadi bahasa nurani rakyat dalam pentadbiran baharu.

Selain Speaker Dewan Rakyat, hadir sama dalam pelancaran buku tersebut ialah tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang, Exco Pulau Pinang Zairil Khir Johari dan seniman tanah air, Pyan Habib Abdul Rahman.

Dalam ucapannya, Muhammad Arif melahirkan rasa kagum dengan kemampuan dan usaha Steven meskipun berlatar belakangkan bidang Kejuruteraan.

“Saya amat tertarik dengan pendekatan Sim meluahkan pandangan beliau mengenai lanskap politik negara melalui puisi.

“Walaupun berketurunan Cina, beliau telah buktikan bahawa itu bukanlah halangan untuk menggunakan bahasa kebangsaan. Bahasa adalah alat komunikasi,” ujarnya.

Majlis pelancaran tersebut diakhiri dengan ucapan dan deklamasi sajak ‘Ayahku seorang YB’ oleh seniman Pyan Habib yang turut teribat menulis kata penghantar pada buku tersebut.

Setiap pembelian Dalam Salju Ada Bunga berharga RM25 akan disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia. – Roketkini.com