Wawancara

Pembangkang sengaja tidak peduli janji-janji yang sudah dilaksanakan

Serangan dakyah pembangkang ke atas kerajaan baharu Pakatan Harapan (HARAPAN) semakin menjadi-jadi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 menggunakan pelbagai helah perkauman dan manipulasi fakta janji-janji Buku HARAPAN.

Namun, tindakan tersebut hanya memperlihatkan kedudukan mereka yang semakin lemah kerana majoriti besar kerusi parlimen yang didominasi parti-parti HARAPAN ditambah dengan perpecahan terburuk parti-parti komponen BN.

“Mereka inilah orang yang terdesak. BN dah jadi kerajaan lebih 60 tahun, sekarang jadi pembangkang dan dia desak kita lakukan perubahan dalam masa 100 hari.

“Jika 60 tahun pun tak mampu lakukan (tepati janji-janji manifesto), apa benda desak orang? Mandat yang diberi adalah lima tahun, saya merayu kepada rakyat, buatlah penilaian selepas lima tahun. Bukannya buat penilaian sekadar bergantung kepada 100 hari,” kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau pada masa yang sama menempelak sikap pembangkang yang seolah-olah gagal melihat beberapa janji yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan.

Tegasnya, penilaian sebenar prestasi kerajaan tidak boleh dilihat berdasarkan 100 hari tetapi perlulah dinilai dalam tempoh satu penggal.

“Sebab itu saya kata rakyat dan pembangkang harus buat penilaian kepada kita selepas lima tahun. Jika lima tahun kita gagal melakukan perubahan, rakyat boleh buat penilaian. Baru ini cara lebih objektif dan adil,” ujarnya.

Pun begitu, kerajaan telah mencapai beberapa kejayaan besar dalam tempoh 100 hari.

“Dalam tempoh 100 hari pun banyak yang capai kejayaan. Pertama, hari ini dalam sejarah – GST sudah dimansuhkan. Mengapa tak puji? Mengapa bila kerajaan tunaikan janji kamu (pembangkang) tak puji?

“Kedua; di Parlimen, kita sudah lantik pembangkang sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), ini janji ditunaikan, kenapa tak puji? Ketiga, kerajaan janji nak stabilkan harga minyak. Sejak 9 Mei harga minyak RON95 sudah stabil, dan kerajaan Pakatan Harapan terpaksa menanggung subsidi minyak RM3 bilion sehingga Disember ini. Sekarang tiap Rabu rakyat tak perlu khuatir minyak naik turun sebab harga stabil, mengapa tak puji?

“Keempat, KWSP suri rumah tangga akan dilaksanakan mulai minggu hadapan mengapa tak puji? Orang buat baik dia tak puji, yang belum buat dia dah kutuk. Dia nak kutuk memang boleh sekiranya gagal laksanakan,” katanya.

Beliau berkata, selain janji-janji yang telah dan sedang dilaksanakan, terdapat beberapa perkara melibatkan dasar-dasar kerajaan yang memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.

“Sebagai contoh, sekarang kita nak buat reformasi Parlimen. Salah satu langkah yang paling utama adalah pastikan Parlimen adalah badan bebas.

“Nak jadi badan bebas kita mesti luluskan Akta Perkhidmatan Parlimen (1963) yang telah dimansuhkan sejak tahun 1992. Sekarang kita nak hidupkan semula akta yang dimansuhkan. Ini perkara baik tapi kita perlu pinda Artikel 65 perlembagaan persekutuan.

“Untuk laksanakan ini perlukan majoriti 2/3. Jadi, untuk pinda Perlembagaan misalnya takkan boleh pinda dalam masa 100 hari? Tolonglah. Sila berlaku adil kepada semua. Nak pinda perlu ada proses dia. Ini undang-undang tertinggi. Bukan petik jari boleh pinda sewenang-wenang – itu bukan perlembagaan, itu macam Laksamana Do Re Mi punya cerita,” katanya lagi. – Roketkini.com