Berita

Cakap serupa bikin, Anthony Loke pulangkan hadiah serta-merta

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memulangkan semula hadiah sagu hati berbentuk telefon bimbit sejurus selepas dihadiahkan oleh penganjur ketika pelancaran sebuah majlis perkhidmatan e-hailing.

Berdasarkan laporan media, penganjur menghadiahkan Huawei P20 handphone dan Huawei Nova 3i kepada Loke sebagai penghargaan.

“Kita laksanakan apa yang kita kata. Di penghujung majlis saya diberikan hadiah sebagai penghargaan, tapi saya nak tegaskan kita tidak perlukan penghargaan seperti itu pada masa depan,” katanya kepada media.

Menurutnya, beliau perlu menolak hadiah berkenaan selaras dengan dasar dan peraturan baru kerajaan.

“Saya diberikan telefon bimbit Hua Wei. Saya perlu menolaknya sebab saya rasa nilainya lebih daripada RM500. Sebagai kerajaan baru kita laksanakan apa yang kita kata.

“Jadi kepada semua penganjur sila ambil perhatian tentang perkara ini. Ini peraturan baru dari kerajaan. Saya tak perlukan sebarang hadiah.

“Dalam majlis-majlis akan datang, kita hanya akan hadir dan tak perlu berikan hadiah,” katanya lagi.

Pada 8 Jun lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan dasar supaya tidak menerima hadiah bagi menteri dan setiausaha politik yang mana sebelum ini peraturan berkenaan hanya terpakai kepada penjawat awam. – Roketkini.com