Berita

Empat senator baharu DAP angkat sumpah

Seramai 12 senator baharu mengangkat sumpah hari ini di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri V S Vigneswaran di Dewan Negara.

Daripada 12 senator tersebut, empat daripadanya mewakili DAP iaitu Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying; Ahli Jawatankuasa DAP Perak, Nga Hock Cheh; Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling dan Pengarah Pendidikan DAP Sabah, Adrian Banie Lasimbang.

Senator baharu daripada PKR ialah bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff; Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya PKR, Ismail Yusof; Ketua Cabang PKR Bera, Monalan Mohamad dan bekas Ahli Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abd Hamid.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Malaysia pula telah melantik Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris dan Ketua Bahagian PPBM Gelang Patah, Nasir Hashim.

Manakala senator yang mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH) ialah Ahli Jawatankuasa Pusat AMANAH, Raj Munni Sabu dan Naib Presiden Datuk Husam Musa. Namun beliau tidak hadir kerana menunaikan ibadah haji dan akan mengangkat sumpah pada tarikh yang ditetapkan.

Wakil Parti Warisan Sabah (WARISAN) pula meletakkan Theodore Douglas Lind, seorang peguam kanan yang juga Pengerusi parti tersebut. – Roketkini.com