Rencana

Blockade: Membalas jasa Senoi Praaq dengan kezaliman?

Isnin lepas, tiga hadangan (blockade) yang dibina masyarakat Orang Asli Gua Musang dirobohkan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dengan mengguna pakai Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara Pemakaian 1984.

Perobohan dilakukan adalah sah mengikut undang-undang dan alasan yang diguna pakai pihak berkuasa terbabit. Namun, tindak-tanduk itu tidak sama sekali akan melemahkan semangat Masyarakat Orang Asli (MOA) yang sekian lama berjuang bagi mendapatkan hak dan pengiktirafan Tanah Adat mereka.

Buktinya, jam 1:30 pagi Rabu (hari ini) Blockade Cawas kembali berdiri. Tahniah dari kami Pakatan Harapan Negeri Kelantan atas kecekalan dan iltizam yang kuat rakan-rakan Orang Asli sekelian. Ini perjuangan kalian dan kami akan sentiasa menyokong tanpa berselindung!

Saya dihubungi pelbagai pihak bertanyakan kesudahan krisis ini. Apa penyelesaiannya? Apa tindakan seterusnya dari Orang Asli ? Apa bentuk bantuan diperlukan Orang Asli dan yang utama sekali – apa tindakan kementerian-kementerian peringkat pusat membantu masyarakat Orang Asli menangani krisis ini?

Soalan-soalan diatas hanya mampu saya jawab dengan satu jawapan yang saya tahu ianya menghampakan semua pihak yang bertanya.

Diakhirnya, penyelesaian berada ditangan Kerajaan Negeri Kelantan kerana kuasa untuk mengiktiraf Tanah Adat Orang Asli adalah kuasa mutlak kerajaan Kelantan.

Sempena bulan kemerdekaan dan menjelang sambutan Hari Malaysia, saya ingin membawa kepengetahuan semua sedikit kisah perjuangan pahlawan “Senoi Praaq” yang mana antara mereka terdiri dari suku Kaum Temiar selain Semai, Semelai dan Temuan.

Sepanjang krisis blockade menjadi panas di Kelantan, saya ada membaca beberapa komen “jahat” dari mereka yang malas membaca. Yang saya maksudkan sebagai komen jahat ialah bila mana tuduhan dibuat kononnya ketika zaman darurat, Orang Asli membantu pengganas Komunis berlindung dari diburu.

Hakikat dan fakta yang tak ramai dari kita tahu ialah, Orang Asli adalah penyumbang utama membantu negara Malaysia keluar dari zaman darurat dan pembebasan ‘kawasan hitam’ dari cengkaman dan penguasaan komunis.

“Senoi Praaq” ketika zaman kegemilangannya dikenali sebagai “Silent Killer” dan pihak Komunis sendiri memilih untuk melarikan diri daripada berhadapan dengan “Senoi Praaq”.

Saya fikir, AJK PAS Pusat Nik Abduh yang pernah dikaitkan dengan CIA pasti tahu kerana kehebatan unit “Senoi Praaq”, pihak CIA sendiri pernah menggunakan khidmat “Senoi Praaq” di Laos.

Apabila Amerika Syarikat tewas dalam perang di Laos, skuad “Senoi Praaq” ditinggalkan begitu sahaja di Laos tetapi mereka berjaya juga pulang ke Malaysia.

Tamat disitu dahulu.

61 tahun selepas kita merdeka, 58 tahun selepas zaman darurat, 29 tahun selepas Komunis mengangkat senjata, selepas berkorban untuk Malaysia, hari ini anak-anak, cucu-cucu mantan unit “Senoi Praaq” terpaksa menyambung perjuangan bapa dan datuk mereka.

Kali ini bukan untuk pembebasan negara dari penjajahan luar, sebaliknya bagi mendapatkan hak ke atas tanah adat mereka yang dinafikan oleh sebuah kerajaan yang berjaya di diri dan distabilkan hasil titik peluh perjuangan dan pengorbanan bapa dan datuk mereka bekas unit “Senoi Praaq”.

Sebagai ‘orang bandar’, saya merasa sangat-sangat malu kepada sahabat-sahabat Orang Asli bila melihat sebuah Kerajaan melayan permintaan kecil masyarakat minoriti yang pernah berjasa dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian negara daripada cengkaman Komunis persis rejim Zionis melayan Palestin.

Apa sangat pengiktirafan sebahagian kecil Hutan Simpan sebagai Tanah Adat berbanding dengan keamanan dan keharmonian yang kita kecapi hari ini?

Saya yakin kerajaan Kelantan tidak akan jatuh papa kedana hanya dengan mengiktiraf beberapa kawasan dalam Hutan Simpan sebagai Tanah Adat Orang Asli sebagaimana tuntutan masyarakat Orang Asli.

Mereka telah membuktikan bahawa Hutan lebih selamat dan terpelihara dibawah jagaan mereka manakala kita telah membuktikan bahawa keangkuhan kita hanya menyumbang pada kehancuran hutan.

Kenanglah jasa mereka buat negeri dan negara ini, berikan hak kepada mereka. Mereka telah berkorban nyawa dan hasilnya sedang kita nikmati hingga ke hari ini.

*Mohd Fauzi Mohd Azmi merupakan Setiausaha Kerja DAP Kelantan dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli Pakatan Harapan Negeri Kelantan