Rencana

Perutusan Hari Kebangsaan ke-61 Setiausaha Agung DAP

Ucapan Hari Kebangsaan Daripada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng Dari Jalan Pudu, Kuala Lumpur Pada 30 Ogos 2018.

Pada tahun 1957, Bapa Kemerdekaan yakni Tunku Abdul Rahman telah mengaum gagah mengisytiharkan kebebasan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah. Enam puluh satu tahun kemudian, di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, rakyat Malaysia telah berjaya membebaskan diri kita daripada kerakusan kuasa dan keaiban dengan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional buat kali pertama dalam sejarah.

Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini amat bermakna bagi rakyat Malaysia – muda ataupun tua, dekat ataupun jauh, di tanah air ataupun di perantauan – kerana kita telah bebas. Bebas daripada rasuah dan penyelewengan yang telah menyebabkan Malaysia diaibkan di mata dunia sebagai negara yang digelarkan oleh Amerika Syarikat, kleptokrasi paling buruk.

Kini, dengan pemantapan demokrasi dan keluhuran undang-undang, kita tidak lagi berpecah belah. Kita mampu mencapai perpaduan berpaksikan nilai-nilai keadilan dan kesaksamaan, maruah dan hak asasi manusia. Kita bebas mengharapkan masa depan yang lebih cerah di mana setiap individu dapat menikmati peluang yang sama rata untuk berjaya selagi mereka rajin dan jujur. Kita sekarang bebas untuk hidup atas nama rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

Proses pembentukan Malaysia Baharu dengan Harapan Baharu yang berpaksikan kasih sayang terhadap Malaysia bergantung kepada kebolehan Kerajaan kini untuk mengotakan janji seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan. Kita sudahpun melaksanakan sebahagian daripada janji tersebut, tetapi tidak dapat melaksanakan janji-janji yang lain buat masa ini kerana status kewangan yang tidak mengizinkan ekoran skandal 1MDB yang menyebabkan hutang negara melambung sehingga melebihi RM1 trilion.

Namun, Kerajaan Pakatan Harapan berazam untuk melaksanakan sebanyak mungkin janji kita sebaik sahaja kedudukan kewangan dapat dipulihkan dan keadaan fiskal diperkukuhkan. Yang paling penting, kerajaan Pakatan Harapan tetap meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai sasaran muktamad dan inilah yang menjadi teras segala usaha kita. Ini dapat dibuktikan apabila Kerajaan memansuhkan GST dan menggantikannya dengan SST, menstabilkan harga minyak walaupun harga minyak antarabangsa naik 48% kepada USD77 daripada USD52 setong dan masih memberikan Bantuan Sara Hidup (yang dahulunya dikenali sebagai BR1M).

Masa depan generasi kini telah dirompak dan dimusnahkan oleh Barisan Nasional. Dengan tumbangnya kerajaan yang lepas, kita telah berjaya memelihara masa depan anak-anak kita. Marilah kita berganding bahu sebagai rakyat Malaysia, seperti yang terpahat dalam sejarah, berkongsi semangat kenegaraan kita dan beriltizam melihat Malaysia bersinar di persada antarabangsa sebagai negara yang bersih, hijau, selamat, dan sihat.

Tidak kira apa pun halangan yang dihadapi, kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak mengecewakan rakyat. Di bahu inilah terletaknya hasrat dan harapan seluruh harapan bukan sahaja rakyat, tetapi generasi masa hadapan juga. Merekalah yang akan menilai kita dalam usaha kita untuk menyelamatkan negara daripada terus dirosakkan dan dimusnahkan. Kita mestilah mencegah mereka yang tamak dengan kekayaan material dan mereka yang tamak dengan kuasa. Ikrar kita bukan sahaja berasaskan kasih saying kita kepada negara tetapi komitmen kita kepada Perlembagaan Persekutuan dan reformasi institusi rangka kerja (institutional framework) supaya rakyat dapat dilindungi demi memenuhi janji-janji kita sebagai kerajaan rakyat, oleh rakyat, kepada rakyat.

Sayangi Malaysiaku. – Roketkini.com