Berita

Guan Eng bebas tanpa pengaruh luar, Peguam Negara tidak campur tangan

Keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung tuduhan rasuah dibuat tanpa sebarang pengaruh luar dan penglibatan Peguam Negara Tommy Thomas, tegas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Menurut Mohamad, keputusan itu dibuat selepas beliau diberi tanggungjawab untuk membuat keputusan berhubung representasi yang dikemukakan kedua-dua tertuduh bagi menggugurkan kes tersebut dan setelah meneliti keterangan baharu oleh saksi pendakwaan

“Ini (saya diberi tanggungjawab buat keputusan) memandangkan saya tidak pernah terlibat dengan kes tersebut dan dipercayai dapat memberi pertimbangan terhadap kes tersebut dari perspektif yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan, katanya, beliau mendapati keterangan menyokong pertuduhan pertama di bawah seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pertuduhan di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan “telah dilemahkan secara substansif”.

“Setelah membuat kesimpulan-kesimpulan tersebut, saya berpandangan bahawa saya mungkin tidak memenuhi tanggungjawab saya sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk membiarkan kes diteruskan setelah mengetahui bahawa kes terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon tidak akan berjaya pada akhir kes pendakwaan.

“Maka dengan itu, saya membuat keputusan supaya pihak pendakwaan ‘nolle prosequi’ (pihak pendakwaan tidak meneruskan pendakwaan) pertuduhan-pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh berdasarkan seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.”

Keputusan itu, kata Mohamad, telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya yang menguruskan kes berkenaan, Datuk Masri Mohd Daud yang juga pengarah bahagian undang-undang SPRM pada jam 7.18 pagi semalam.

Katanya, pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk memerintahkan “pelepasan tanpa terjumlah kepada pembebas” terhadap Guan Eng dan Li Koon namun hakim memerintahkan agar kedua-kedua tertuduh dibebaskan dan dilepaskan.

“Saya ingin menegaskan bahawa amalan untuk “nolle prosequi” bukanlah sesuatu amalan yang luar biasa.

“Perkara ini telah diamalkan dalam kes-kes lain apabila menerima representasi daripada pihak peguam dan setelah menemui keterangan baru atau apabila keterangan menjadi lemah setelah diperiksa balas oleh pihak pembelaan.

“Berhubung kes terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon, terdapat bukti baru yang tidak dipertimbangkan sebelum ini,” katanya sambil menambah keputusan untuk memulakan atau menamatkan pendakwaan merupakan kuasa dan budi bicara pendakwa raya.

Beliau turut merahsiakan keputusan tersebut sehingga ke saat akhir dan tidak merujuk kepada pasukan penyiasatan kerana bimbang ia akan menimbulkan gangguan tidak diingini dan dibocorkan.

“Malahan, terdapat satu firma guaman yang mewakili pengadu telah menghantar surat yang membantah sebarang cadangan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon.

“Saya telah 4 menjawab surat tersebut dengan mengatakan bahawa saya akan memutuskan kes tersebut berdasarkan bukti yang sedia ada dan berlandaskan undang-undang, yang mana telah saya lakukan, tanpa sebarang pilih kasih,” katanya. – Roketkini.com