Berita

Umno akan terkubur jika terus mainkan isu kaum, agama – Patriot

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) hari ini menyifatkan penganjuran Himpunan Bangkit Melayu oleh Umno di Pasar Salak baru-baru ini sebagai cubaan untuk mencetuskan kebencian dalam kalangan masyarakat.

Presidennya Datuk Mohamed Arshad Raji justeru menggesa parti Melayu itu supaya berhenti menghasut rakyat dan membangkitkan isu secara matang jika mahu jadi pembangkang yang berkredibiliti.

“Patriot menggesa pemimpin Umno ini untuk bertindak sebagai ahli politik matang dan menyuarakan isu-isu kebangsaan dan sosial dengan baik dan ini cara terbaik untuk menebus kredibiliti mereka.

“Mereka perlu berhenti mengapi-apikan isu-isu yang boleh mencetuskan kebencian di kalangan penduduk Malaysia. Jika tidak, parti berpaksi bangsa dan agama ini akan segera terkubur,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa hak Melayu dan institusi Raja-raja Melayu adalah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Hak orang Melayu dan Raja-raja Melayu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika Umno yang memimpin negara sejak 60 tahun lalu masih bertegas bahawa orang Melayu dan Raja-raja Melayu perlu dilindungi, maka mesti ada sesuatu yang tidak kena dengan dasar-dasar kerajaan dahulu yang dilakukan oleh Umno sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas penganjuran Himpunan Bangkit Melayu oleh Umno di Pasir Salak yang menampilkan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin dalam ucapannya antara lain menuduh orang Melayu hilang kuasa selepas negara diperintah Pakatan Harapan dan mendakwa kononnya DAP mahu mewujudkan negara Republik.

“DAP adalah musuh orang Melayu, musuh Islam kerana mereka hendak mewujudkan sistem tanpa Raja, mereka nak wujudkan sistem republik supaya ketua negara bukan Melayu dan bukan bergama Islam seperti di Singapura dapat dilantik,” kata Tajuddin.

Semalam, Pengerusi Biro Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin membuat laporan polis terhadap Tajuddin Abdul Rahman ekoran dakwaannya itu.

Adun Keranji mendesak agar Tajuddin disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaaan kerana secara sengaja menghina dengan niat menjejaskan kententeraman.

“Ucapan beliau bukan sahaja rekaan tetapi jelas menghasut, cuba menimbulkan sentimen perkauman dan mencipta konflik di antara kaum-kaum yang berlainan di Malaysia,” kata Chong seperti dipetik Malaysiakini. – Roketkini.com