Berita

Hukuman sebat khalayak umum langgar hak asasi manusia

Kerajaan Pakatan Harapan digesa supaya menangani isu hukuman sebatan di khalayak umum sebagaimana dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah Terengganu ke atas dua pesalah syariah wanita baru-baru ini yang dilihat menindas dan mengetepikan hak asasi manusia.

Setiausaha Publisiti DAP Pahang, Chow Yu Hui berkata, tindakan tersebut telah menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa dan Malaysia sekali lagi mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

“Amnesty International juga telah menyuarakan bahawa perbuatan tersebut melambangkan hari gelap bagi hak asasi manusia di Malaysia.

“Demi menjaga imej Malaysia di medan antarabangsa, kerajaan Pakatan Harapan mesti memperbetulkan keadaan ini dan menyelesaikan kes ini dengan penuh proaktif,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, adalah tidak wajar bagi pihak yang tidak dapat menerima LGBT menggunakan apa-apa cara untuk menindas dan mengetepikan kumpulan tersebut, “Kerana setiap manusia diperuntukkan hak untuk hidup dan dilayani dengan belas kasihan”.

Hukuman berkenaan kata beliau bakal membuka ruang kepada golongan konservatif agama di Pahang khususnya untuk mengambil kesempatan mendesak kerajaan negeri supaya mencontohi Terengganu.

“Kerajaan diseru supaya mempertahankan hak asasi setiap warganegara Malaysia secara adil dan tegas, serta menghentikan ugutan sesiapa sahaja terhadap mana-mana kumpulan minoriti,” ujarnya.

Tegas Yu Hui, negara harus mencontohi jejak langkah negara-negara maju untuk memansuhkan undang-undang yang didakwa menindas kumpulan minotiri seperti LGBT.

“Atas penemuan baharu dalam kerumitan dan mobiliti tentang jantina dan orientasi seksual manusia, pakar-pakar moden sering memperbetulkan prejudis terhadap LGBT sebelum ini dan menyeru supaya dunia berhenti mencemari dan bertindak garang terhadap LGBT.

“Kini tiba masanya kesedaran hak asasi manusia mula muncul, kita tidak patut mengabaikan fakta ini lalu membiarkan kejadian yang menindas hak asasi manusia terus berleluasa,” kata beliau.

Tanpa mengetepikan pendirian masyarakat Malaysia yang masih konservatif, beliau berkata itu bukan bermaksud kumpulan tersebut harus ditindas dan diketepikan.

“Walaupun setiap individu memiliki pandangan dan penilaian moral masing-masing terhadap LGBT, undang-undang menyekat golongan minoriti yang tidak menjejaskan keselamatan orang lain tidak wajar dilaksanakan.

“DAP sebagai salah satu gabungan parti kerajaan selalu menjadikan unsur kepelbagaian dan sistem sekular sebagai ideologi parti.

“Kami berpendirian teguh tentang pemisahan hubungan agama-negara. Kami membantah mana-mana badan atau individu yang menindas mana-mana kumpulan termasuk LGBT atas nama kepercayaan dan nilai agama,” katanya.

Ia kata Yu Hui bukan sahaja bagi kumpulan minoriti LGBT tetapi juga melibatkan hak-hak wanita dan sebagainya.

“Seperti yang disebutkan dalam sesetengah kritikan, undang-undang negara kita melarang hukuman sebat terhadap wanita, namun Mahkamah Tinggi Syariah masih meneruskan hukuman kali ini.

“Perkara ini menambah buruk masalah percanggahan antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah. Kerajaan Pakatan Harapan mesti bertindak secepat mungkin dalam usaha menyelesaikan krisis serius ini yang mungkin membelahkan rakyat Malaysia,” kata beliau. – Roketkini.com