Berita

Najib perlu jawab salah guna RM42.2b dana kerajaan, bukan sebar fitnah

Tuduhan fitnah kononnya Kerajaan Pakatan Harapan menyalahgunakan dana kumpulan wang yang disatukan adalah tidak benar sebaliknya ia diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional terdahulu kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Datuk Seri Najib terus memfitnah Kerajaan Pakatan Harapan menyalahgunakan RM42.2 bilion yang beliau mendakwa ditinggalkan kepada Kerajaan Pakatan Harapan pada 31 Disember 2017 sedangkan beliaulah yang sebenarnya yang meninggalkan RM450 juta sahaja untuk digunakan pada 30 April 2018,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata demikian menyanggah tohmahan Najib yang memfitnah kerajaan Pakatan Harapan apabila mendakwa kononnya kerajaan telah menyalahguna dana berjumlah RM42.2 bilion.

Dalam perkara ini, Najib digesa menjawab mengapa jumlah wang disatukan itu merosot mendadak sebanyak RM11.41 bilion atau 96 peratus dalam Akaun Hasil Disatukan dari 31 Disember 2017 hingga 30 April 2018

“Datuk Seri Najib masih lagi mengungkit isu Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM42.2 bilion setakat 31 Disember 2017 tetapi beliau gagal untuk menyatakan bahawa dana ini cuma tinggal RM11.86 bilion di dalam Akaun Hasil Disatukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pembayaran dan pemindahan wang kerajaan hanya boleh dibuat atau digunakan daripada Akaun Hasil Disatukan.

“Dengan ini, cuma RM11.86 bilion dalam Akaun Hasil Disatukan sahaja yang boleh dipindahkan ke Tabung Bayaran Balik GST dan Tabung Bayaran Balik Cukai,” ujarnya.

Walaupun jumlah RM11.86 bilion itu kata Guan Eng tidak dipindahkan ke Tabung Bayaran Balik Cukai, jumlah bayaran balik GST dan bayaran balik cukai sehingga 31 Mei 2018 seperti yang diumumkan adalah RM35.4 bilion.

“Datuk Seri Najib seharusnya faham bahawa hanya jumlah yang terdapat dalam Akaun Hasil Disatukan boleh digunakan untuk Bayaran Balik GST dan Bayaran Balik Cukai.

“Apabila Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran pusat pada 9 Mei 2018, kedudukan kewangan di dalam Kumpulan Wang Disatukan yang belum diaudit setakat 30 April 2018 adalah RM35.5 bilion dan daripada jumlah ini, cuma terdapat RM450 juta dalam Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit,” jelas beliau.

Berdasarkan polisi kerajaan persekutuan jelasnya, semua pungutan yang diterima hendaklah disimpan dalam satu kumpulan wang yang dikenalikan sebagai Kumpulan Wang Disatukan tetapi disimpan dalam tiga akau berbeza iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan yang diselenggara oleh Akauntan Negera.

“Dengan kata lain, baki yang tinggal adalah RM11.86 bilion setakat 31 Disember 2017 dalam Akaun Hasil Disatukan telah merosot kepada RM450 juta setakat 30 April 2018.

“Ini juga menunjukkan bahawa Akaun Hasil Disatukan telah menyusut dengan mendadak sebanyak RM11.41 bilion dalam masa empat bulan,” ujarnya.

Kata Guan Eng, walaupun Kerajaan telah memberikan percutian cukai yang berkuatkuasa 1 Jun 2018, kedudukan kewangan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan yang belum diaudit telah bertambah baik kepada RM59.90 bilion setakat 31 Julai 2018.

“Pada masa yang sama, jumlah Akaun Hasil Disatukan yang belum diaudit juga menunjukkan baki yang lebih tinggi iaitu RM3.81 bilion daripada RM450 juta setakat 30 April 2018,” katanya lagi. – Roketkini.com