Berita

Yi Wei ingatkan menteri pendidikan tentang janji kebebasan akademik

Pakatan Harapan (PH) baru sahaja melepasi 100 hari pentadbiran di Putrajaya dan setiap gerak-geri gabungan itu diperhatikan rakyat.

PH sebelum Plihan Raya Umum ke-14 (PRU) berjanji mahu memberikan kebebasan dan autonomi akademik kepada institusi pengajian tinggi (IPT) tanpa sebarang campur tangan politik.

Pun begitu, pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden sebuah IPT awam dilihat tidak selari dengan hasrat yang telah dipersetujui gabungan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata PH tidak seharusnya membelakangi manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat.

“Sama ada jawatan presiden itu eksekutif atau bukan eksekutif tidak penting. Kita tidak harus mungkir janji manifesto dengan menggunakan jalan keluar,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Pemimpin muda DAP itu turut memetik kenyataan Maszlee dalam satu wawancara dengan New Strait Times (NST) pada Jun yang antara lain menyentuh mengenai kebebasan dan autonomi akademik.

“Ini era baru. Saya akan pastikan kerajaan Pakatan harapan tidak akan menyalah guna universiti untuk kepentingan politik… termasuk saya.

“Kita tidak akan mengawal atau memerintah mereka (IPT) atau memaksa mereka (untuk melakukan sesuatu). Kita mahu universiti menikmati autonomi mereka dan memupuk kebebasan akademik di wilayah mereka,” katanya seperti dipetik NST.

Menurut Yi Wei, berlaku percanggahan kepetingan dalam pelantikan Maszlee sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) ekoran jawatannya dalam Kabinet.

Beliau justeru menggesa Maszlee melepaskan pelantikan sebagai presiden IIUM dengan serta merta kerana bercanggah dengan hasrat PH.

“Kegagalan berbuat demikian akan mengecewakan pelajar yang berharap kepada kita untuk memulihkan semula kebebasan akademik.

“Kegagalan berbuat demikian juga akan menjadi satu tamparan hebat kepada aktivis pelajar yang disenarai hitam, diganggu atau dihukum mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

“Malah kegagalan untuk berbuat demikian akan memberi isyarat yang salah bahawa Pakatan Harapan tidak mempunyai integriti. Dalam hal itu, kita tidak boleh lagi menyalahkan orang muda jika mereka mula menjauhi politik,” katanya.

Seramai kira-kira lima juta pengundi muda pertama kali mengundi pada PRU14 lepas. Angka tersebut, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merangkumi kira-kira 34 peratus daripada keseluruhan pengundi di Malaysia. – Roketkini.com