Berita

Daim puji DAP sanggup korban lambang ‘roket’ demi negara

Ketua Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin dalam satu wawancara semalam memuji DAP kerana sanggup mengetepikan lambang roket pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menyifatkan langkah itu sebagai satu pengorbanan, beliau berkata, ia juga menunjukkan DAP bukanlah sebuah parti yang berlandaskan perkauman tetapi sebaliknya meletakkan kepentingan negara mengatasi perkara lain.

“Lihat DAP bersedia berkorban, MCA sanggup atau tidak? Tidak sanggup, ini cara kita main.

“DAP dulu orang Melayu tidak boleh terima, tapi bila datang kepentingan negara dia sanggup berkorban. Tidak guna simbol dia, itu pengorbanan,” kata bekas menteri kewangan itu dalam wawancara secara langsung di TV3.

Terdahulu, Daim ditanya mengenai kesanggupan parti komponen PH iaitu DAP untuk akhirnya sanggup meninggalkan lambang roket dan menggunakan logo PKR pada PRU14 lalu.

PRU 9 Mei menyaksikan Umno-Barisan Nasional (BN) tumbang buat pertama kali dalam sejarah negara, sekali gus memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan yang turut dianggotai PKR, Amanah dan Bersatu. – Roketkini.com