Berita

Bantuan I-Sejahtera Pulau Pinang akan mula dibayar pada 75,884 penerima bermula 22 September

Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mula membuat pembayaran kepada 75,884 penerima program-program I-Sejahtera pada 22 September ini, lapor Bernama.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata 36,020 orang pelajar akan menerima RM100 seorang di bawah Skim Pelajar Emas; 24,995 warga emas mendapat RM130 seorang di bawah Program Penghargaan Warga Emas manakala 14,869 penerima di bawah Program Bantuan Ibu Tunggal iaitu RM100 seorang, setiap tahun.

“Peruntukan itu akan disalurkan mengikut Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) dan daerah,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata program itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan semua pelajar, warga emas dan ibu tunggal yang layak, mendapat manfaat melalui program itu.

”Pada masa sama kami nak bantu mengurangkan beban golongan yang memerlukan. Itu yang lebih utama,” katanya seperti dipetik agensi berita itu. – Roketkini.com