Berita

DAP cadang Kementerian Kewangan kurangkan cukai SST ke atas produk halal

Ketua Biro Usahawan Pemuda Pakatan Harapan Bryan Lew menggesa Kementerian Kewangan supaya mengurangkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas produk halal daripada 10% kepada 5%.

Langkah itu bagi menggalakkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan industri Halal di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, tambahnya.

“Malaysia adalah salah satu hab halal penting dalam mengeksport barangan halal ke negara luar seperti China, Timur Tengah dan lain-lain.

“Ia bukan sahaja menawarkan produk makanan halal malah turut menawarkan kosmetik halal, gaya hidup halal, logistik halal, pelancongan & hospital halal serta farmaseutikal halal,” katanya yang juga Setiausaha Sosialis Muda DAP.

Dengan pengurangan kadar tersebut, kata Bryan, ia akan membolehkan Malaysia meneroka potensi besar industri produk halal di peringkat antarabangsa.

Mengikut Pelan Induk Industri Halal (2008-2020), Malaysia berhasrat untuk menjadi hab halal Global bagi negara seperti di Asia Tenggara, Eropah, China dan Afrika.

Mengulas perkara lain, Bryan turut memuji inisiatif kerajaan dalam menganjurkan jelajah ke seluruh negara bagi menerangkan mengenai pelaksanaan SST kepada peniaga dan pengguna.

Roadshow seumpama ini mengalakkan pendekatan yang lembut dan mesra oleh kerajaan Pakatan Harapan dan inisiatif serupa harus diterapkan oleh setiap jabatan kerajaan,” ujarnya. – Roketkini.com