Berita

Hasil tinjauan buktikan rakyat puas hati dengan pencapaian kerajaan Pakatan Harapan

Keputusan kaji selidik terhadap kira-kira 487,000 responden sepanjang tempoh 100 hari  pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan didapati berpuas hati dengan dengan pencapaian kerajaan dedah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pagi tadi.

“Kita telah melakukan tinjauan dan berpendapat bahawa lebih positif terhadap pemerintahan Pakatan Harapan berbanding daripada negatif.

“Yang negatif banyak dalam bidang pengangkutan. Ramai yang tak berpuas hati. Tetapi apabila kita selidik, mereka tidak berpuas hati dengan perbelanjaan yang besar untuk mengadakan MRT, LRT dan sebagainya. Mereka terima baik kemudahan tetapi tidak berpuas hati dengan perbelanjaan,” jelas beliau.

Menurutnya, kaji selidik yang dijalankan oleh Berkshire Media itu menunjukkan rakyat berpuas hati dengan kesungguhan kerajaan menangani gejala rasuah walaupun melihat kerajaan kurang ‘tegas dan cepat’.

“Rasuah umpamanya, mereka (responden) berpuas hati dan berpendapat tak banyak kemajuan yang berlaku kerana melihat kerajaan tidak mengambil tindakan tegas dan cepat terhadap penjenayah-penjenayah lama,” katanya.

Menjelaskan perkara itu Dr Mahathir berkata kerajaan perlu mengikut saluran undang-undang di mana kes melibatkan rasuah memerlukan bukti yang cukup sebelum dihadapkan di mahkamah khususnya melibatkan kes-kes rasuah yang besar.

“Jadi ini yang melambatkan, ramai terlibat dengan rasuah yang terdiri dari pemimpin-pemimpin kerajaan lepas (seolah-olah) tidak ada tindakan terhadap mereka. Ini dijelaskan kerana kita tumpukan pada kes yang besar,” ujarnya.

Bagaimanapun kerajaan juga tegasnya akan melihat kepada kes-kes rasuah lain yang dilakukan dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Selain itu, kerajaan katanya juga berjaya melakukan pembaharuan apabila membatalkan beberapa undang-undang yang tidak adil.

Menjawab soalan pemberita tentang gaji minima, beliau berkata kerajaan mengalami kesukaran kerana perlu memberi tumpuan untuk menyelesaikan jumlah hutang yang besar ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Ada berpendapat minima RM1,800, RM1,500, tapi kita berada dalam kesukaran kerana banyak wang yang sepatutnya ada digunakan untuk bayar hutang yang besar. Interest pun dah besar. Sebab itu kita tak boleh tingkatkan perbelanjaan kerajaan (untuk laksanakan gaji minima RM1,500),” katanya lagi. – Roketkini.com