Berita

Sah, Umno dan PAS kini tidur sekatil, kata Kit Siang

Umno dan PAS yang sebelum ini berdolak-dalik berhubung kerjasama antara mereka, akhirnya mengisytiharkan yang mereka kini tidur ‘sekatil’, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Ia dapat dilihat daripada kerjasama erat antara kedua-dua parti tersebut apabila masing-masing berikrar untuk sama-sama hadir ke perhimpunan masing-masing, tambahnya.

“Umno dan PAS akhirnya mengisytiharkan bahawa mereka kini tidur sekatil, dengan kedua-dua parti bergabung dan bekerjasama dalam kempen calon PAS.

“Ini terlihat dengan kehadiran Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada kempen PAS di Seri Setia. Ahmad Zahid dalam ucapannya pada kempen tersebut berkata beliau berjanji akan menghadiri Muktamar PAS pada minggu hadapan di Kuala Terengganu.

“Malah, Zahid juga meminta pemimpin kanan Umno untuk bersama-sama beliau menghadiri Muktamar PAS,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan, hari ini.

Zahid pada kempen calon PAS di Seri Setia semalam berkata beliau akan menghadiri Muktamar PAS pada minggu hadapan di Terengganu kononnya sebagai tanda sokongan moral.

“InsyaAllah saya akan datang bersama pimpinan Umno sebagai sokongan moral kepada kepimpinan PAS.

“Ini adalah komitmen kita di bawah Umno baru yang akan bekerjasama dengan parti pembangkang lain,” katanya seperti dipetik laporan media.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya juga akan menjemput PAS untuk hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU).

“Dan saya pun dimaklumkan oleh timbalan presiden PAS, jika PAS dijemput (ke perhimpunan agung Umno atau PAU), PAS juga akan hadir.

“Jadi saya nak maklumkan Umno akan menjemput PAS.

“Jadi saya percaya PAS akan jemput Umno jadi saling hadir menghadiri di muktamar dan PAU nanti,” katanya seperti dipetik laporan media.

PAS sebelum ini dilihat teragak-agak untuk menyatakan sokongan kepada Umno disebabkan oleh sentimen akar umbi parti tersebut yang menolak Umno sejak sekian lama. – Roketkini.com