Rencana

Umno, PAS gunakan MCA untuk bina gabungan baru jatuhkan kerajaan PH

Semalam, saya bertanyakan tiga soalan berikut:

  1. Mengapa PAS mahu membantu MCA dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.
  2. Mengapa MCA mendapatkan bantuan daripada pemimpin Umno yang berterusan memainkan politik kaum, agama, kebencian, ketakutan, dan pembohongan yang keterlaluan dan tidak bertangggungjawab, malah mendakwa kononnya orang Melayu hilang kuasa politik, DAP kononnya adalah musuh orang Melayu dan Islam dan DAP kononnya mahu memansuhkan institusi Raja-Raja Melayu serta menubuhkan Republik setelah Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) pada 9 Mei lalu.
  3. Mengapa MCA begitu terdesak sehingga perlu meminta bantuan daripada gabungan pelampau dan oportunis bagi mengelak kehilangan depisti di PRK Balakong?

Ketiga-tiga persoalan itu dijawab malam semalam.

Pada kempen PRK Seri Setia semalam, Umno dan PAS akhirnya mengisytiharkan bahawa mereka kini tidur sekatil, dengan kedua-dua parti bergabung dan bekerjasama dalam kempen calon PAS.

Gabungan celaru antara Umno dan PAS ini direstui pemimpin MCA, yang terlihat dengan kehadiran Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada kempen PAS di Seri Setia. Ahmad Zahid dalam ucapannya pada kempen tersebut berkata beliau berjanji akan menghadiri Muktamar PAS pada minggu hadapan di Kuala Terengganu.

Malah, Zahid juga meminta pemimpin kanan Umno untuk bersama-sama beliau menghadiri Muktamar PAS – sebuah layanan istimewa yang tidak pernah Umno berikan kepada MCA. Seluruh kepimpinan kanan Umno tidak pernah sekalipun menghadiri Perhimpunan Agung MCA walaupun parti mewakili kaum Cina itu mendabik dada bahawa ia adalah parti kedua terbesar daripada 13 komponen Barisan Nasional (BN).

Sebagai timbal balas terhadap restu MCA kepada gabungan celaru Umno dan PAS, pemimpin PAS secara aktif berkempen untuk MCA dalam PRK Balakong menerusi arahan terus daripada Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Zahid juga hadir pada kempen MCA di Balakong atas kapasiti sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan menggesa agar “kemenangan moral” dapat diraih di Balakong, tidak kira sama ada calon MCA menang atau kalah.

Adalah jelas bahawa Umno dan PAS menggunakan MCA untuk “meminjam mayat bagi menghidupkan semula roh” (borrow a corpse to resurrect the soul) bagi membina sebuah gabungan baharu yang terdiri daripada MCA, Umno dan PAS bagi merancang untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan sebelum PRU15 yang akan diadakan pada 2023.

Ini menjadikan objektif PRK Balakong dan Seri Setia yang berlangsung pada esok bukan sahaja untuk memilih seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk kawasan itu, sebaliknya membawa kepentingan negara – dan persoalan sama ada pengundi di Balakong dan Seri Setia mahu memberikan “kemenangan moral” kepada gabungan celaru MCA, Umno dan PAS yang sedang dibentuk.

Adalah menarik untuk diperhatikan apabila tidak ada seorang pun pemimpin daripada gabungan celaru MCA, Umno dan PAS mengutuk kegiatan rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan kerajaan Najib dalam kempen mereka di Balakong dan Seri Setia selama 21 hari, khususnya berhubung skandal 1MDB, skandal pengubahan wang haram yang menyebabkan Malaysia digelar kleptokrasi global.

Bagaimana mereka boleh berubah menjadi pembangkang yang konstruktif dan jujur, bagi mengubah “gabungan celaru (unholy)” kepada “gabungan suci (holy)”, dan menjadi agen semak dan imbang kepada sistem demokrasi di Malaysia, sedangkan mereka masih mewakili amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketidakadilan di bawah era Najib?

Jika calon MCA di Balakong dan calon PAS di Seri Setia hilang deposit esok, ia akan menjadi satu keputusan bersejarah yang membuktikan bahawa rakyat Malaysia tidak mahu gabungan bercelaru MCA, Umno dan PAS yang tidak berprinsip, oprtunis dan tidak bertanggungjawab mengganggu-gugat proses pembinaan Malaysia Baharu, yang bersih daripada rasuah, salah guna kuasa, ketidakadilan rejim Najib yang ditumbangkan secara aman dan demokratik pada PRU14 9 Mei 2018 yang lalu.

*Kenyataan Media Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang pada Jumaat 7 September 2018 di Kuala Lumpur.