Berita

Guan Eng bidas Najib pura-pura tak tahu tentang SST

Menteri Kewangan Lim Guan Eng membidas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa ‘buat-buat tidak tahu’ bahawa cukai perkhidmatan sebanyak 6% sememangnya dikenakan di bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sama seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Malah, tambah Guan Eng, hanya restoran yang memperolehi pendapatan melebihi nilai ambang RM1.5 juta setahun sahaja yang mengenakan cukai tersebut kepada pengguna.

“Datuk Seri Najib Razak tidak harus berpura-pura tidak tahu akan perkara ini kerana beliau menjadi Menteri Kewangan sejak 2008, sebelum pelaksanaan GST pada 1 April 2015, di mana SST 6% juga dikenakan sebagai cukai perkhidmatan untuk kedai kopi dan restoran.

“Perbezaannya ialah di bawah pelaksanaan SST, cuma restoran-restoran yang mempunyai pendapatan yang melebihi nilai ambang RM1.5 juta setahun sahaja yang dikenakan cukai perkhidmatan 6% kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas catatan Najib di Facebook semalam yang merungut dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6% selepas mengunjungi sebuah restoran.

Semalam, Lim Guan Eng berang dan kata saya tak jujur. Dia kata makanan ‘pau’ pun kena 6% GST dulu sama seperti 6% SST…

Najib Razakさんの投稿 2018年9月10日月曜日

Jelas Guan Eng, 75% daripada kedai dan restoran yang berdaftar di bawah sistem GST tidak akan dikenakan SST selepas nilai ambang cukai tersebut dinaikkan kepada RM1.5 juta daripada RM500,000.

“Nilai ambang ini adalah 3 kali ganda lebih tinggi berbanding GST, yang sebelum ini dikenakan kepada pengguna daripada restoran yang mempunyai pendapatan melebihi RM500,000 setahun.

“Ini terbukti apabila cuma terdapat 4,372 restoran yang mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SST berbanding 17,574 restoran di bawah GST, iaitu 4 kali ganda lebih besar di bawah GST.

“Bukankah kesan SST jauh lebih kurang daripada GST apabila hanya 25% daripada restoran dan kedai kopi terkesan di bawah SST berbanding dengan GST?” ujarnya.

Pelaksanaan SST juga, menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, turut menurunkan harga kereta.

“SST juga menyaksikan pengguna juga dapat menikmati harga kereta yang lebih rendah apabila sekurang-kurangnya lima jenama kereta iaitu Perodua, Honda, Toyota, Volkswagen dan BMW lebih murah berbanding dengan GST antara RM2,000 hingga RM3,000,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan SST bermula 1 September lalu susulan pemansuhan GST yang dilihat membebankan rakyat. – Roketkini.com