Rencana

Hanif mesti buktikan dakwaan pisahkan Semenanjung Malaysia

Saya telah memikirkan mengenai dakwaan yang keterlaluan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, yang mendakwa bahawa DAP kononnya bercadang untuk memisahkan Semenanjung Malaysia dan perkara itu kononnya dilaporkan secara terperinci dalam laporan risikan Cawangan Khas yang dihantar kepadanya dalam kapasitinya sebagai ketua pegawai polis di Majlis Operasi Nasional (Mageran) pada 1969.

Nampaknya, Cawangan Khas (SB) seolah-olah tahu lebih banyak mengenai DAP daripada DAP itu sendiri!

Para pemimpin DAP dan saya sendiri, yang merupakan Ketua Setiausaha DAP selama 30 tahun dari 1969 hingga 1999, Pengerusi Kebangsaan DAP selama lima tahun dari 1999 hingga 2004 dan Ketua Parlimen DAP selama 14 tahun dari 2004 hingga 2018, tidak pernah mendengar mengenai perkara itu sehinggalah Hanif membangkitkannya.

Saya baru saja bercakap dengan pengasas dan Penasihat Seumur Hidup DAP yang bakal mencecah usia 94 tahun dalam masa dua bulan lagi. Dr. Chen,yang juga merupakan Pengerusi DAP Kebangsaan selama 33 tahun dari 1966 hingga 1999, mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mendengar cadangan yang tidak masuk akal dan mengarut seumpama itu, yang jelas bertentangan dengan prinsip dan objektif DAP sejak penubuhannya pada 1966.

Hanif yang sebelum ini mendakwa DAP kononnya membuat cadangan tersebut selepas berlakunya rusuhan 13 Mei 1969, bagaimanapun menokok tambah kenyataannya itu dengan mendakwa bahawa kononnya perkara itu dimaklumkan kepadanya menerusi laporan perisikan Cawangan Khas pada 1969.

Pengasas dan Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr Chen Man Hin tidak pernah dengar cadangan pemisahan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian.

Adakah laporan risikan Cawangan Khas ini sebenarnya wujud dan boleh dipercayai?

Adakah pegawai Cawangan Khas sengaja mereka-mereka laporan risikan itu bagi memburuk-burukkan DAP dengan tuduhan perkauman, tidak bertanggungjawab dan bahkan khianat dan berbahaya?

Jikalau benar sekalipun terdapat laporan perisikan Cawangan Khas – yang boleh diragui kerana kepimpinan DAP sendiri tidak mengetahui apa-apa mengenainya – mengapa baru sekarang Hanif membangkitkannya setelah setengah abad berlalu?

Cadangan itu sangat tidak masuk akal, mengarut, memecah-belahkan rakyat, bersifat perkauman dan khianat sehinggakan saya mahu kesemua fakta mengenai kisah temberang ini didedahkan.

Cadangan pemisahan Semenanjung Malaysia bertentangan dengan prinsip DAP, tegas Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kisah temberang Hanif bahawa DAP kononnya mahu Semenanjung Malaysia dipisahkan kepada dua bahagian, Barat untuk orang Cina dan Timur untuk orang Melayu, adalah tuduhan palsu dan tidak bertanggungjawab yang jarang berlaku dan berlebih-lebihan daripada seorang bekas pegawai kanan polis dan menjadi tanggungjawab beliau untuk membuktikan kewujudan laporan risikan Cawangan Khas tersebut serta mendedahkan identiti Pegawai Cawangan Khas yang membuat laporan sedemikian.

Adalah jelas bahawa polis sendiri tidak mempercayai laporan risikan Cawangan Khas ini kerana saya tidak pernah disoal siasat berhubung perkara itu semasa saya ditahan selama 60 hari mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri, malah, tiada seorang pun tahu mengenainya sejak setengah abad lalu sehinggalah Hanif membangkitkannya.

Adakah cadangan tersebut sebenarnya black ops yang dijalankan Cawangan Khas untuk memburuk-burkkan DAP pada 1969, supaya DAP boleh dituduh sebagai pemecah-belah, perkauman dan tidak patriotik, namun gagal mencapai objektifnya? – Roketkini.com

Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang pada Rabu, 12 September 2018 di Gelang Patah