Berita

Kerajaan akan jumpa REHDA Malaysia bincang turunkan harga rumah, kata Guan Eng

Kerajaan Pakatan Harapan mengalu-alukan sebarang keputusan daripada pemaju untuk menurunkan harga rumah selari dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap bahan dan perkhidmatan binaan.

Pengecualian tersebut, menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, disambut baik oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang yang bersedia menurunkan harga rumah sehingga 10% untuk rumah melebihi RM300,000 dan memberikan diskaun sebanyak 6% bagi rumah mampu milik yang berharga RM300,000.

“Saya akan berjumpa dengan REHDA Malaysia untuk membincangkan sama ada langkah sama di Pulau Pinang boleh diamalkan di seluruh negara,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung DAP dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng dalam pada itu berkata kerajaan dengan kerjasama pelbagai agensi sentiasa komited untuk memastikan harga barang terkawal selepas pelaksanaan SST.

“Kementerian Kewangan dengan kerjasama pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sentiasa menjalankan kempen anti-pencatutan kerana memang ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga dengan sewenang-sewenangnya.

“Kerajaan meminta kerjasama daripada orang awam untuk memberikan maklumat tentang kenaikan harga barang yang tidak munasabah,” tambahnya. – Roketkini.com