Berita

Pemindahan Batu Sumpah detik bersejarah Orang Asal Sabah

Pemindahan Batu Sumpah Keningau ke tapak baharu pada Ahad lalu merupakan kejayaan besar rakyat Sabah khususnya bagi masyarakat Orang Asal kata Senator Adrian Lasimbang.

Menurutnya, kempen melalui Gerakan Batu Sumpah telah dimulakan oleh DAP Sabah pada tahun 2014 dipimpin oleh Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah yang pada ketika itu diketuai oleh Dr Edwin Bosi.

“Antara tujuan utama penubuhan majlis ini ialah menjalankan kempen kesedaran Batu Sumpah pada masa yang sama menggesa kerajaan untuk mengembalikan perkataan ‘Kerajaan Malaysia Jamin’ yang hilang dan sepatutnya berada di atas plak asal Batu Sumpah tersebut,” jelasnya.

Selain memupuk kesedaran kepentingan Batu Sumpah, kempen itu juga berjaya mendirikan sembilan replika Batu Sumpah di beberapa daerah seperti Penampang, Merotai, Keningau, Tenom, Inanam, Sook dan Matunggong.

Batu Sumpah Keningau didirikan pada 31 Ogos 1964 setahun selepas pembentukan Persekutuan Malaysia sebagai dasar kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan intipati 20 Perkara yang merujuk hak istimewa penduduk peribumi Sabah.

Justeru, apa yang terpenting saat ini kata Adrian ialah komitmen kerajaan untuk memartabatkan ‘sumpah’ tersebut kerana ia amat signifikan dengan kejayaan pembentukan Persekutuan Malaysia 1963 dan Perjanjian Malaysia (MA63).

“Perubahan regim kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah pada PRU14 lalu memberi harapan besar kepada rakyat Sabah khususnya masyarakat Orang Asal agar kedudukan istimewa mereka terjamin dan dipelihara.

“Justeru, kerajaan harus komited melaksanakan komitmen Persekutuan untuk mengiktiraf tiga jaminan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Sabah yang terpahat pada Batu Sumpah tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada Roketkini.

Tiga jaminan kerajaan itu ialah ‘Agama bebas di Sabah’, Tanah-tanah dalam Sabah dikuasai oleh Kerajaan Sabah’, dan ‘Adat istiadat Anak Rakyat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh kerajaan’ yang merupakan asas Sabah menyertai Persekutuan pada September 1963 melalui Perjanjian Malaysia (MA63).

Selain kempen Gerakan Batu Sumpah kata Adrian, usaha menuntut pengiktirafan itu juga diperjuangkan dalam Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin.

“Kini, sejarah baharu telah bermula apabila Batu Sumpah yang terletak di perkarangan Pejabat Daerah Keningau dipindahkan disekitar Muzium Warisan Keningau yang merupakan kawasan yang lebih strategik dan mudah dilawati oleh orang ramai pada bila-bila masa,” ujarnya.

Majlis pemindahan penuh tradisi dengan upacara ‘Moningolig’ ini telah disaksikan oleh pimpinan DAP Sabah diwakili oleh Adun Kapayan, Jannie Lasimbang yang juga Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, pegawai, pimpianan tempatan dan orang awam.

Menjawab kritikan sesetengah pihak, Adrian berkata pemindahan Batu Sumpah tersebut ke kawasan strategik membolehkan objek bersejarah negara ini dilawati pada bila-bila masa.

Ini memandangkan kawasan asal kedudukan Batu Sumpah tersebut akan berkunci pada waktu tertentu khususnya hari cuti kerana terletak di dalam kawasan Pejabat Daerah jelasnya. – Roketkini.com