Rencana

Dewan Negara harus dibersihkan dari lambakan politik sampah BN

Tindakan sebuah akhbar milik BN semalam yang menyifatkan penolakan oleh Dewan Negara terhadap usul Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 sebagai “sebuah perkembangan bersejarah” harus dipandang benar dalam erti kata bahawa ia adalah Hari Keaiban untuk Dewan Negara selepas enam dekad dilihat sebagai tidak relevan dalam sejarah Malaysia.  

Ia menyerlahkan lagi keperluan segera dalam pembaharuan Parlimen berkaitan Dewan Negara bagi memastikan ia dapat menjadi ruang semakan yang berkesan untuk Dewan Rakyat seperti yang dibayangkan oleh bapa-bapa pengasas negara, dan bukannya menjadi medan lambakan untuk politik yang bermasalah dan politik sampah dari BN, yang merupakan prosedur operasi standard (SOP) BN untuk melantik Senator mereka dalam enam dekad yang lalu.

Itulah sebabnya para Senator yang dilantik oleh BN tidak merasa malu apabila pihak yang melantik mereka telah ditolak oleh rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dan jika mereka mempunyai secebis rasa malu dan kompas moral, mereka akan meletak jawatan secara terhormat dari Dewan Negara dan bukannya melakukan tindakan seperti semalam dengan mensabotaj RUU berkenaan.

Pakatan Harapan komited kepada pembaharuan Parlimen yang meluas, bukan sahaja untuk Dewan Rakyat tetapi juga untuk Dewan Negara, supaya Senator boleh memainkan peranan yang amat membanggakan dan penting dalam landskap politik negara.

Walaupun seorang Senator BN berkata selepas menolak RUU tersebut bahawa Senator pembangkang mengundi menentang pemansuhan itu kerana mereka percaya undang-undang yang melarang berita palsu itu boleh ditambah baik, ini adalah penjelasan Ex post facto yang tidak benar untuk mencuci dosa sabotaj mereka, kerana tidak ada Senator BN yang mengemukakan sebarang cadangan khusus untuk menambah baik Akta Antiberita Tidak Benar.

Sebelum ini, saya pernah berkata bahawa Akta Antiberita Tidak Benar sebenarnya adalah undang-undang untuk “Menyelamatkan Najib dari Skandal 1MDB” yang menghukum media yang melaporkan mengenai skandal 1MDB di Malaysia, walaupun ia dilaporkan secara meluas oleh media di seluruh dunia, dengan dakwaan menyebarkan “berita palsu” dan boleh dikenakan denda yang berlebihan iaitu sebanyak RM500,000, 10 tahun penjara atau kedua-duanya.

Saya telah menjadi mangsa berita palsu dan maklumat palsu selama beberapa dekad. Mereka menyerang saya dengan pelbagai gelaran dan tuduhan seperti anti-Melayu, anti-Islam; penyebab rusuhan 13 Mei di Kuala Lumpur pada tahun 1969, sedangkan saya tidak berada di Kuala Lumpur ketika itu; ejen kuasa asing dan pada masa sama, ejen CIA, M16, KGB dan Perisikan Australia; menerima RM1 bilion dari Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membenarkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam gabungan Pakatan Harapan, menerima RM100 juta dari hartawan Malaysia Robert Kuok, membiayai portal berita sebanyak RM40 juta, menerima lebih daripada satu bilion ringgit daripada sumber Israel, dan lain-lain lagi pembohongan jahat; dan yang paling terbaru, saya dituduh kononnya ingin memisahkan Semenanjung Malaysia menjadi dua bahagian, barat untuk orang Cina dan timur untuk orang Melayu.

Adakah jabatan Cukai Pendapatan dan Cawangan Khas (SB) di Malaysia begitu tidak cekap dan tidak profesional sehingga membenarkan aktiviti-aktiviti buruk seperti ini berlaku dalam beberapa dekad yang lalu tanpa mengetahui tentangnya?

Sudah tentu mustahil. Malah, Malaysia mempunyai salah satu Cawangan Khas yang paling kompeten, cekap dan bertaraf  antarabangsa, dan para profesional Cawangan Khas mengetahui bahawa penyebaran berita palsu dan maklumat palsu mengenai saya hanyalah pembohongan yang nyata – ia adalah hasil karya propagandis Umno/BN dan cybertroopers ‘quinoa’ yang dibela oleh BN dengan baik.

Adakah mereka yang terlibat dalam mereka-reka dan menjual berita palsu serta maklumat palsu mengenai saya ditangkap, didenda dan dihukum dengan denda setengah juta ringgit atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya?

Sudah tentu tidak.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang sempat bergambar bersama pengunjung sebuah restoran semasa mengadakan sesi walkabout pada kempen Pilhan Raya Kecil DUN Balakong.

Inilah sebabnya mengapa Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail menentang Akta Antiberita Tidak Benarr, walaupun berita palsu sememangnya perlu dibendung dan diperangi, ia tidak harus melalui penguatkuasaan Akta Antiberita Tidak Benar yang mempunyai implikasi yang besar dan boleh membawa kepada kewujudan sebuah kerajaan berbentuk kuku besi.

Seperti yang dijelaskan oleh Pengerusi Suhakam pada awal tahun ini, rekod kerajaan kerajaan Umno/BN dalam penggunaan undang-undang atas alasan selain daripada tujuan yang dimaksudkan adalah boleh dipersoal dan undang-undang yang dicadangkan itu boleh disalah guna untuk memantau media dan memperburuk kedudukan Malaysia dalam  Indeks Kebebasan Media Dunia Wartawan Tanpa Sempadan. Malaysia menduduki tempat ke-144 daripada 180 negara dalam indeks 2017.

Akta Antiberita Tidak Benar adalah senjata baharu untuk menutup kegiatan rasuah, khususnya membabitkan 1MDB dan skandal pengubahan wang haram dan untuk memupuk 3I di Malaysia – ignominy, infamy and iniquity (keaiban, keji dan kejahatan) – sebagai kleptokrasi global!

Dengan tindakan Senator BN mensabotaj dan mengagalkan usaha kerajaan untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi, adakah Najib bakal menjadi individu pertama yang didakwa mengikut akta tersebut atas kesalahan menyebarkan berita palsu yang direkanya berhubung kegiatan rasuah membabitkan 1MDB dan skandal pengubahan wang haram, termasuk dakwaan palsu bahawa ‘derma’ RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun bank peribadinya berasal dari keluarga diraja Arab Saudi dan dia kononnya telah mengembalikan sebahagian derma RM2.6 bilion tersebut kepada keluarga diraja Arab Saudi serta bahawa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen ke-13 telah membersihkannya dari apa-apa salah laku berhubung skandal 1MDB. – Roketkini.com

*Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dari DAP pada Khamis, 13 September 2018.