Berita

Kerajaan kaji tambah jumlah penerbangan ke Sarawak pada musim perayaan

Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji untuk menambah jumlah penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak semasa musim perayaan bagi memastikan kadar tambang penerbangan tidak melambung tinggi, lapor The Star Online.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu dilihat lebih efektif berbanding menetapkan harga syiling untuk tiket penerbangan.

“Kami membuat kajian sama ada untuk menetapkan atau tidak harga syiling semasa musim perayaan, namun kami juga mengambil kira kesan buruk daripada penetapan tersebut.

“Jika harga syiling ditetapkan, ia akan menyebabkan purata harga tiket penerbangan meningkat semasa musim bukan perayaan. Kita mengambil iktibar daripada negara-negara lain, yang telah melaksanakan harga syiling dan ia tidak membantu mengurangkan harga secara purata.

“Jadi dalam tempoh satu tahun hadapan kami akan cuba bawa pendekatan berlainan, iaitu menambah jumlah penerbangan semasa musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya dan Gawai.

“Kami berharap langkah ini akan mengurangkan tambang penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak.

“Saya akan pastikan setiap syarikat penerbangan, tidak kira Malaysia Airlines, AirAsia atau Malindo, menambah kekerapan penerbangan mereka semasa musim perayaan,” katanya seperti dipetik akhbar itu hari ini.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Setiausaha Organisasi DAP berkata, kementeriannya juga akan mengkaji untuk menyediakan penerbangan terus dari Sarawak ke beberapa destinasi seperti Jakarta dan Australia.

“Dari sudut geografi, sepatutnya sudah ada penerbangan terus dari Kuching ke Jakarta, yang mana penerbangannya lebih dekat berbanding dari Kuala Lumpur, dan juga beberapa destinasi di Australia.

“Saya akan bincangan perkara ini dengan syarikat penerbangan sama ada mereka boleh melaksanakan perkhidmatan ini,” ujarnya. – Roketkini.com