Berita

Siasat dalang seleweng RM800j projek Lebuh Raya Pan Borneo – DAP Sabah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat kehilangan dana kira-kira RM800 juta bagi Projek Lebuh Raya Pan Borneo, bahagian Sabah seperti dilaporkan media tempatan minggu lalu.

Gesaan ini dibuat oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang Ginger Phoong Jin Zhe menerusi laporan yang diserahkan kepada SPRM bertarikh 5 September lalu.

Menurut laporan kepada SPRM itu, mereka berkata siasatan harus dijalankan supaya pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.

“Merujuk kepada artikel di muka hadapan akhbar tempatan (Daily Express) bertarikh 4 September, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kerajaan akan menyiasat ke mana hilangnya sejumlah dana yang besar dalam Projek Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini.

“Perdana Menteri menyatakan dana tersebut telah diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin Datuk Seri Musa Aman ketika itu.”

Menurut Chan, syarikat yang terlibat dalam projek berkenaan adalah Borneo Highway PDP Sdn Bhd, yang diketuai oleh Shahelmey Yahya selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Apa yang lebih menimbulkan tanda tanya, Shahelmey juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah lapor BorneoPost.

Selain itu, syarikat lain yang dipercayai terlibat dalam projek tersebut ialah Warisan Tarang Construction Sdn Bhd dan UEM MMC Joint Venture Sdn Bhd.

“Justeru kami menggesa SPRM untuk menyiasat individu yang terlibat kerana mereka bertanggungjawab menguruskan dana berkenaan serta memiliki maklumat tentang perkara ini.

“Ini merupakan perkara serius kerana ia melibatkan sejumlah wang yang besar, dipercayai berjumlah RM800 juta,” katanya lagi. – Roketkini.com