Berita

DAPSY sokong langkah Kementerian Pendidikan kembalikan autonomi mahasiswa

DAPSY mengalu-alukan pengumuman Kementerian Pendidikan bahawa pentadbir universiti tidak akan terlibat dalam pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mulai tahun ini.

Menurut Ketua Pemuda DAPSY Wong Kah Woh, pengumuman itu merupakan langkah berani untuk mengembalikan autonomi pelajar universiti yang telah diperjuangkan oleh aktivis-aktivis pelajar selama ini.

“Sepanjang masa ini, pilihan raya kampus yang dikendalikan oleh Bahagian Hal-Ehwal Pelajar Univerisiti Awam telah gagal memaparkan satu sistem pilihan raya yang bersih dan adil.

“Telah menjadi satu fakta yang diketahui umum bahawa Bahagian HEP di universiti awam adalah lebih memihak kepada pro-aspirasi sekaligus bertindak tidak adil kepada kesemua pelajar-pelajar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh timur berkata, melalui langkah ini, Kementerian Pendidikan di bawah pimpinan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengiktiraf kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun oleh mahasiswa yang ditindas pada masa lampau.

DAPSY berharap bahawa ini akan membuka satu lembaran yang baru yang mana penukaran fikiran dan interaksi antara Kementerian Pendidikan dan aktivis-aktivis pelajar akan bertambah baik dan lebih erat demi untuk mencapai satu pembaharuan dalam sistem pendidikan tinggi di negara ini.

“Pembaharuan pilihan raya kampus hanya merupakan salah satu usaha awal untuk mengembalikan autonomi pelajar.

“Kerajaan sekarang juga harus memastikan bahawa tidak ada campur tangan politik dalam hal-ehwal kampus,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, DAPSY katanya turut tertarik komitmen kerajaan yang akan menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti  (AUKU).

“DAPSY akan memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Pendidikan, di dalam dan di luar Parlimen, dalam mencapai hasrat ini,” katanya lagi. – Roketkini.com