Rencana

Ketidaksempurnaan DUN Johor dan keterencatan peranan ADUN

Penggal persidangan pertama Dewan Johor (DUN Johor) ke-14 telah dimulakan pada 12 Ogos dan tamat pada 19 Ogos lalu. Hanya 368 pertanyaan telah diterima oleh jurutulis dewan negeri dan dibawa ke dalam persidangan yang berjalan selama 6 hari itu.

Dengan kata lain, setiap ADUN daripada 56 orang ADUN yang terpilih dalam pilihanraya umum ke-14 hanya dibenarkan untuk membuat 6-7 pertanyaan dalam persidangan pertama itu.

Di Selangor pula, persidangan dimulakan pada 3 September. Hanya 420 pertanyaan dibawa oleh 55 orang ADUN ke dalam persidangan yang berjalan selama lima hari itu, di mana sebahagian pertanyaan yang dihantar lewat oleh sesetengah ADUN baru ditolak oleh setiausaha dewan.

Berapakah pertanyaan yang diterima, ditolak atau dibahaskan dalam dewan perundangan negeri bukanlah masalah. Pada pendapat saya, masalah yang sebenarnya ialah:

Tarikh tutup penghantaran pertanyaan dan cara pertanyaan disampaikan yang begitu ketat dan keras telah menyebabkan sesetangah ADUN terlepas peluang untuk membawa pertanyaan mereka ke persidangan yang teramat penting ini.

Bukankah Dewan Perundangan Negeri yang merupakan badan perundangan (legislative) terunggul sesebuah negeri itu diwujudkan untuk Ahli Dewan? Atau kewujudannya semata-mata untuk membentuk birokrasi yang tidak memanfaatkan rakyat?

Pembaharuan badan perundangan kerajaan baru, mahupun di pusat atau di peringkat negeri harus menyaksikan daya upaya dan fleksibiliti dalam penyelenggaraan dewan perundangan agar kerenah birokrasi kerajaan dahulu boleh dihapuskan sama sekali.

Kebanyakan pertanyaan yang dibawakan oleh ADUN adalah permintaan statistik atau laporan pelaksanaan sesuatu projek. Keadaan sebegini menandakan bahawa ADUN-ADUN tidak mempunyai saluran untuk mendapatkan data atau memahami perkembangan sesuatu rancangan kerajaan di luar dewan.

Lanjutan dari hujah ke-2 di atas, apakah keberkesanan perbahasan sesebuah dewan perundangan sekiranya persidangan yang berjalan beberapa hari ini hanya digunakan untuk mendapat data dan perkembangan projek sahaja?

Bagaimanakah ADUN-ADUN boleh memberi cadangan yang bernas dan membina dalam masa yang begitu singkat, boleh dikatakan hampir spontan, selepas memperolehi data-data yang diperlukan?

Di dewan Johor, setiap ADUN hanya diberikan 15 minit untuk berucap, tetapi bukan semua yang disampaikan akan dijawab atau dilaksanakan oleh pihak berkenaan.

Ini bermaksud peluang untuk seseorang wakil rakyat memainkan peranannya sebagai ahli perundangan yang sebenar telah tergugat. Apakah keberkesanan dewan perundangan dalam situasi sebegini?

Di manakah peluang dan arena untuk wakil rakyat memainkan peranannya sebagai ahli perundangan, kalau bukan di dewan perundangan negeri?

Walaupun menteri besar telah memainkan peranannya sebagai penggulung pada akhir persidangan, sekiranya gulungan atau keputusan yang dibuat dalam persidangan itu tidak diberi perhatian, disusuli atau diabaikan oleh pihak pentadbir kerajaan negeri, seperti jabatan kerajaan negeri dan ahli mesyuarat negeri (eXCO), maka ucapan dan perbahasan yang telah dilakukan oleh ADUN-ADUN dalam Dewan Negeri boleh dibagaikan “persembahan pentas” semata-mata?

Sesi pertanyaan dan jawapan hanya diberi masa setengah hari setiap hari dalam persidangan kali ini. Biasanya tidak lebih dari 10 buah pertanyaan dapat dibincangkan dalam tempoh masa yang diperuntukan, maka kebanyakan pertanyaan terpaksa dijawab secara bertulis.

Jawapan bertulis merupakan komunikasi sehala yang tidak melibatkan perbincangan. Apa yang ADUN boleh buat sekiranya jawapan yang diberikan itu tidak tepat pada pertanyaan, atau maklumat yang diberi adalah serba kekurangan?

Contohnya, pertanyaan saya mengenai “bagaimana untuk menghentikan derma paksaan PIBG sekolah?”, jawapan yang saya dapati ialah “derma paksaan tidak wujud”.

Satu contoh lagi, jawapan pertanyaan saya mengenai gaji ahli lembaga pengarah syarikat pautan kerajaan (GLC) ialah saya perlu mencari jawapannya dari laporan tahunan syarikat-syarikat itu.

Sesi pertanyaan hanya membenarkan soalan dan jawapan sahaja, ADUN tidak dibenarkan membawa usul atau cadangan melalui pertanyaannya. Cadangan-cadangan hanya boleh dibawa dalam ucapan ADUN.

Perbezaan sesi ucapan dari sesi pertanyaan ialah ia tidak perlu dijawap oleh pihak yang bertanggungjawab atau yang dipertanggungjawabkan. Pihak berkenaan boleh mengabaikan cadangan yang dibawa oleh ADUN dengan sewenang-wenangnya.

Contohnya, dalam ucapan perbahasan usul junjung kasih titah baginda sultan Johor, saya telah mencadangkan agar kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa audit dalam masa yang tersingkat untuk menyemak pengurusan kewangan syarikat pautan kerajaan.

Saya juga mencadangkan kerajaan negeri, menubuhkan jawatankuasa pilihan (select committee) seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan pusat, untuk menyemak projek-projek kerajaan dahulu yang dicurigai.

Cadangan-cadangan yang dibuat saya itu adalah berdasarkan fakta. Contoh dan sebab-musabab juga disertakan dalam ucapan saya.

Isu-isu yang menjadi kebimbangan rakyat dan yang mempengaruhi kehidupan harian rakyat seperti isu hak milik tanah atau penyediaan kemudahan awam biasanya juga akan dibawa oleh ADUN ke dalam dewan negeri.

Pegawai jabatan berkuasa boleh mengabaikan permintaan atau pertanyaan ADUN tersebut di dalam dewan, malah menyusahkan ADUN tersebut di luar dewan.

Hakikatnya ialah, sesungguhnya seseorang ADUN berhasrat untuk menjaga kebajikan dan kehidupan rakyat, mereka bukan sahaja tidak boleh memberi arahan kepada pegawai pentadbiran, malah perlu menghadapi kerenah birokrasi yang tidak memanfaatkan.

Ambil isu tulisan Cina di papantanda perniagaan di Muar, di mana pegawai majlis perbandaran mengarahkan pemilik kedai untuk memadamkan tulisan yang dikatakan melanggar peraturan sebagai contoh.

Percanggahan dalam pentadbiran seperti ini berlaku kerana perubahan kerajaan yang drastik tidak disusuli dengan penukaran ketua jabatan dan sumber manusia yang sewajarnya.

Apa yang berlaku di Taiwan selepas kerajaan lama ditukar ialah ketua-ketua jabatan atau institusi turut diganti dengan serta merta, untuk memastikan keberkesanan pengawalan sistem birokrasinya.

Kerajaan tempatan, kemudahan awam dan penghidupan rakyat mempunyai kaitan yang rapat antara satu sama lain. Prestasi kerajaan tempatan memberi kesan kepada kepuasan dan keyakinan rakyat terhadap sesebuah kerajaan pada keseluruhannya, dan seterusnya mempengaruhi penilaian rakyat terhadap wakil rakyat mereka.

Kecekapan kerajaan tempatan di Malaysia pada umumnya tidak tinggi, banyak masalah dan kerenah birokrasi telah lama berakar. Jabatan kerajaan tempatan bukan di bawah jagaan seseorang ADUN, dewan negeri pula hanya merupakan pentas “berucap”, ADUN sebagai ahli perundangan yang seharusnya melibatkan diri dalam merangka, menggubal atau meminda undang-undang, akhirnya hanya berupaya membuat permintaan kepada pihak pentadbiran agar masalah rakyat diselesaikan.

Inilah hakikat kecacatan dewan perundangan dan keterencatan fungsi ADUN masa kini.

Pemulihan fungsi dewan perundangan dan ADUN

Hierarki kerajaan Malaysia telah mengagihkan sesetengah kuasa kepada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Akan tetapi komunikasi di antara semua peringkat kerajaan harus dipertingkatkan dan pemantauan yang berkesan sangat diperlukan.

Ini akan menjamin ketelusan dalam semua peringkat pentadbiran, pihak pentadbir bukan sahaja berupaya memberi maklum-balas yang sewajarnya kepada wakil rakyat, suara rakyat juga boleh disampaikan kepada pihak pentadbir melalui wakil rakyat mereka secara terus dan berkesan.

Jabatan pentadbiran kerajaan negeri (begitu juga dengan kementerian-kementerian kerajaan pusat) perlu sentiasa terbuka kepada pertanyaan wakil rakyat dan memberi maklum balas sesama lain, agar wakil rakyat boleh memainkan peranan yang proaktif.

Dengan maklum balas yang tepat dan kemas kini, ADUN akan berupaya membawa usul-usul yang membina, dan seterusnya membolehkan dewan perundangan memainkan peranannya sebagai badan perundangan, dan bukannya arena “tanya dan jawab”, “Q&A” sahaja. Exco kerajaan negeri pula boleh mendapat maklum balas rakyat dengan lebih terperinci dan seterusnya keberkesanan pentadbiran mereka boleh dipertingkatkan.

Oleh kerana kebanyakan kutipan cukai dilakukan di peringkat kerajaan pusat, agihan peruntukan kerajaan pusat ke kerajaan negeri biasanya akan berdasarkan situasi negeri, populasi dan keperluan tempatan.

Begitu juga dengan pengagihan peruntukan ke kerajaan tempatan oleh sesebuah kerajaan negeri, ia seharusnya dilakukan berdasarkan keperluan tempatan. Proses ini harus melibatkan ADUN-ADUNnya untuk meningkatkan keberkesanan peruntukan tersebut dan mengelakkan penyelewengan pengurusan kerajaan tempatan.

Contohnya, pertukaran paip bawah tanah di kawasan banjir tidak mendapat peruntukan, sedangkan satu peruntukan yang besar telah diberikan kepada pembinaan satu jalan persendirian yang tidak memaafkan rakyat jelata.

Pada masa kini, ADUN terpaksa cuba sedaya upaya untuk mendapatkan peruntukan untuk menyelesaikan masalah tempatan seperti banjir, melalui pengagihan peruntukan daripada menteri besar atau exco tertentu.

Kepincangan sistem pentadbiran dan penglibatan ADUN dalam pembentukan polisi tempatan

Fungsi seseorang ahli perundangan ialah untuk menggubal, meminda dan meluluskan undang-undang negeri.

Selain daripada fungsi perundangan, ADUN juga dikehendaki membahaskan dan meluluskan belajawan negeri, menyemak serta memantau pelaksanaan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri atau kerajaan tempatan.

ADUN tidak mempunyai kuasa (jurisdiction) untuk mengarah pegawai daerah dan jabatan kerajaan tempatan.

Pembahagian kuasa sebegini sebenarnya membolehkan fungsi semak-menyemak dan kuasa yang seimbang di antara tiga cabang utama sistem demokrasi berparlimen.

Tetapi, pada hakikatnya, ADUN mungkin menghadapi cabaran untuk mengadakan perjumpaan dengan pegawai kerajaan, apatah lagi hendak memantau keberkesanan pentadbiran kerajaan tempatan?

Budaya kerenah birokrasi yang berleluasa dan kesulitan ADUN untuk memantau pentadbiran kerajaan tempatan telah menyebabkan fungsi ADUN terencat.

Pada kebanyakan masanya, ADUN terpaksa mengadakan “teh tarik” dengan pihak berkuasa tempatan, agar isu penghidupan pengundi dan masalah kemudahan asas kawasannya boleh diselesaikan melalui hubungan baiknya dengan pihak berkuasa berkenaan, justeru tanggungjawab dan janji ADUN terhadap pengundinya boleh ditunaikan.

Masalah keterencatan fungsi ADUN ini adalah akibat daripada kepincangan sistem kerajaan tempatan. Pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan adalah penyelesaiannya.

Datuk Bandar, Yang di Pertua Majlis Perbandaran, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan haruslah dipilih oleh rakyat, dan dipertanggungjawabkan dengan masalh pembangunan dan isu rakyat tempatan. Dengan ini, ADUN yang tidak berada di dalam sistem pentadbiran tidak diperlukan lagi untuk menguruskan kerja-kerja di luar kuasa mereka.

Sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan tidak dapat dipulihkan, maka pindaan akta harus dilakukan agar sebahagian kuasa diperuntukan kepada ADUN dalam mengarah, memantau pentadbiran kerajaan tempatan, termasuk juga penglibatan ADUN di dalam proses pembentukan polisi tempatan, pelantikan Yang di Pertua Majlis Perbandaran dan sebagainya.

Kesimpulannya, usaha pembaharuan institusi sangat kritikal untuk memulihkan keunggulan dewan perundangan negeri dan fungsi ADUN.

Sekiranya usaha pembaharuan gagal, maka dewan perundangan negeri akan terus tercacat, fungsi ADUN akan terus terencat, dan keberkesanan mereka akan terus bergantung sepenuhnya kepada kesudian kerjasama pihak pentadbir kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.

Chew Chong Sin adalah ADUN Mengkibol serta aktivis BERSIH. Rencana ini telah pertama kali diterbitkan di Malaysiakini.