Rencana

5 objektif utama capai impian Malaysia Baharu menjelang 2030

Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang menyaksikan gabungan Umno/Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan penguasaan di lima negeri, iaitu Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan, idea untuk menumbangkan Umno/BN di Putrajaya dilihat tidak mustahil, mampu dicapai dan dimpikan dalam perjalanan sejarah negara.

Sebelum PRU 2008, tidak ada seorang pun mengambil serius terhadap keyakinan bahawa peralihan kuasa boleh berlaku dan mampu dicapai menerusi proses demokrasi.

Namun, jika persoalan mengenai sama ada Pakatan Harapan boleh menewaskan Umno/BN dan menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia diajukan kepada saya pada PRU14, saya mungkin tidak berani untuk menjawab “ya”, walaupun saya telah mencurahkan sepenuh usaha dan tenaga saya untuk tujuan ini – sehinggakan saya berkempen di luar kawasan Parlimen saya, Iskandar Puteri, dalam kebanyakan tempoh berkempen, melawat 35 kawasan Parlimen di 10 negeri semasa tempoh 11 hari berkempen PRU14.

Saya hanya berada di kawasan Iskandar Puteri semasa di peringkat awal dan akhir kempen PRU, kerana bagi saya, prestasi DAP dan Pakatan Harapan dalam PRU14 lebih penting berbanding di Iskandar Puteri.

Pada malam 9 Mei 2018, dari kawasan Parlimen Iskandar Puteri, saya bergegas ke Sheraton Hotel di Petaling Jaya, di mana pemimpin Pakatan Harapan berkumpul pada malam PRU14. Jelas ketika itu bahawa Umno/BN sudah hilang mandat daripada rakyat untuk memerintah, dan telah ditolak oleh majoriti pengundi.

Namun tidak jelas sama ada Pakatan Harapan sudah memenangi majoriti mudah 112 kerusi dan mampu membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, ekoran tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang enggan mengumumkan keputusan di beberapa kawasan Parlimen dan seolah-olah berhenti bekerja selepas mendapati Umno/BN kalah teruk.

Kekhuatiran dan kebimbangan terbesar saya pada malam 9 Mei sehingga ke awal pagi 10 Mei semasa berada di Sheraton Hotel adalah kemungkinan berlakunya Parlimen tergantung, situasi di mana BN atau Pakatan Harapan tidak memiliki majoriti mudah 112 kerusi Parlimen, dan membolehkan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menjadi “kingmaker” – yang diumumkan Hadi merupakan objektif PAS dengan memenangi 40 kerusi Parlimen dalam PRU14!

Bayangkan apa yang akan terjadi kepada Malaysia sekiranya pada 9 Mei 2018 yang bersejarah itu, berlakunya Parlimen tergantung dan Hadi memainkan peranannya sebagai “kingmakaer” – kerana semua sedia maklum dengan persefahaman antara Najib dan PAS serta antara Umno dan PAS, dan Hadi sudah tentunya akan mengarahkan Ahli Parlimen PAS untuk memberikan sokongan kepada Najib bagi membolehkan Najib terus menjadi Perdana Menteri, sekali gus mengetepikan skandal 1MDB dan keaiban Malaysia ekoran digelar oleh seluruh dunia dengan gelaran kleptokrasi global.

Namun, mujurlah negara kita dijauhi daripada bala bencana yang mungkin tercetus daripada pembentukan kerajaan yang terdiri daripada Umno, BN, dan PAS. Pakatan Harapan bersama-sama Warisan menang majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Malaysia yang baharu di Putrajaya.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dengan rakyat Malaysia di Perth – dan suka untuk saya katakan bahawa saya amat kagum dengan kehadiran begitu ramai rakyat Malaysia pada malam ini, ramai yang rambutnya sudah berona putih, menunjukkan mereka telah meninggalkan Malaysia untuk bertahun malah berdekad lamanya, namun saya yakin hati mereka masih di Malaysia – sekali gus mencetuskan idea bahawa sebuah gerakan masyarakat sivil di negara dan diaspora Malaysia di seluruh dunia harus dibentuk bagi menerajui pembinaan Malaysia Baharu 2030.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang bersalaman dengan penyokong Pakatan Harapan pada PRU14.

Pada 9 Mei 2018, untuk pertama kali dalam beberapa tahun, rakyat Malaysia di negara ini dan diaspora di seluruh dunia, amat berbangga menjadi rakyat Malaysia, kerana kita bukan sahaja mengejutkan dunia malah diri kita sendiri bahawa peralihan tampuk pemerintahan kerajaan mampu berlaku secara aman dan demokratik menerusi peti undi, ditengah-tengah krisis demokrasi yang dipersoal kerelevanannya sebagai sistem pentadbiran pada abad ke-21.

Untuk pertama kalinya, kita melaksanakan apa yang dibayangkan Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman sewaktu kelahiran Malaysia iaitu untuk menjadikan negara ini sebagai “suar cahaya dalam dunia yang terganggu dan bingung” dan bukannya menjadi “lohong hitam” sebuah demokrasi penyangak, kakistrokrasi di mana sorang menteri tidak dapat membezakan telur penyu dengan telur biasa dan sebuah kleptokrasi global.  

Rakyat Malaysia kini kembali yakin untuk berharap dan berimpian untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara ulung bertaraf dunia dalam pelbagai bidang, di mana kita boleh memanfaatkan pertembungan kepelbagaian kaum, bahasa, budaya dan tamadun di Malaysia.

Malaysia Baharu masih bergelut untuk dilahirkan, yang mana memerlukan bukan 100 hari atau lima bulan sebaliknya 10 hingga ke 20 tahun.

Gerakan Malaysia Baharu yang saya cadangkan agar rakyat Malaysia di negara ini dan diaspora di seluruh dunia dapat menerajui kerja-kerja pembinaan sebuah Malaysia Baharu, bermula dengan objektif berikut:

  1. Menjadikan Malaysia sebagai model demokrasi bermula dengan pemulihan doktrin pemisahan kuasa – di mana Parlimen dan Badan Kehakiman tidak mengikut telunjuk Eksekutif dan Perdana Menteri.
  1. Mentransformasi Malaysia dari kleptokrasi global kepada sebuah negara yang berintegriti.
  1. Mengembalikan kehebatan ekonomi Malaysia bagi memastikan keadilan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran bagi semua rakyat Malaysia dapat dicapai, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.
  1. Bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara ulung bertaraf dunia dalam setiap bidang usaha manusia; dan
  1. Membina Malaysia yang bersatu padu di mana semua rakyat Malaysia menganggap diri mereka bukan sahaja sebagai orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban, tetapi juga sebagai rakyat Malaysia dahulu (Malaysian first) dan paling utama.

Tidak ada jaminan bahawa visi Malaysia Baharu ini akan berjaya kerana pembangkang yang mahu memusnahkan Pakatan Harapan, seperti yang dibuktikan oleh Muktamar PAS baru-baru ini yang menyimpulkan bahawa pakatan PAS dan Umno baharu akan menggunakan politik ekstremis kaum, agama, ketakutan, kebencian pada tahap yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Saya baru sahaja mendapat berita bahawa salah seorang pemimpin Umno yang paling dihormati dan bekas Menteri Umno, Datuk Mustapha Mohamad, baru sahaja meletak jawatan daripada Umno kerana beliau mahu Umno menjadi lebih inklusif dan moderat.

Ini adalah bukti terbaru bahawa politik Malaysia berada di landasan baharu dan mereka yang merancang untuk memusnahkan kerajaan Pakatan Harapan mungkin akan hancur terlebih dahulu jika mereka berterusan menggunakan ekstremisme yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam mengeksploitasi politik kaum, agama, kebencian, ketakutan dan pembohongan.

Pembentukan sebuah Malaysia Baharu harus diteruskan tanpa diganggu-gugat oleh ahli politik yang oportunis dan ekstremis dan di sinilah gerakan masyarakat sivil baharu untuk rakyat Malaysia di negara ini dan diaspora di seluruh dunia dapat memainkan peranan penting dan sah. – Roketkini.com

Ucapan oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mengenai “Wawasan Malaysia Baharu” di Murdock University, Perth pada 6 petang Selasa 18 September 2018.