Berita

Kalah saman fitnah, NST diperintah bayar Guan Eng RM130,000

Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan akhbar The New Straits Times (NST) membayar kos dan ganti rugi sebanyak RM130,000 kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung penerbitan dua artikel berunsur fitnah pada awal tahun ini.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail turut mengarahkan NST untuk menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat dalam edisi Ahad akhbar tersebut.

“Pihak defendan diarahkan untuk memenuhi kedua-dua terma tersebut dalam pertimbangan persetujuan ini dalam tempoh 14 hari bermula hari ini,” katanya dalam penghakiman.

Dalam saman yang difailkannya, Guan Eng mendakwa NST menerusi artikel tersebut antara lain menuduh Setiausaha Agung DAP itu kononnya menipu orang awam mengenai projek terowong dasar laut. – Roketkini.com