Rencana

Memahami politik mutaghayyirat

Bukan senang mencari calon isteri atau suami. Banyak hal yang perlu dipertimbang, antara lain termasuklah sekufu atau tidak, asal usul keluarganya, ada minat dan kesukaan yang sama atau tidak, serta sedapkah dipandang mata dan tidak membawa menyampah. Itu baru yang asas.

Belum lagi dikira jenis yang buat pemeriksaan latar, berapa bekas kekasih, apa sejarah lampau, berapa waran tangkap, berapa saman trafik, carian CTOS dan sebagainya. Pendek kata membuat keputusan untuk bernikah bukan semudah membeli barang di kedai runcit.

Memberi komitmen kepada suatu perhubungan adalah perkara yang amat sukar. Meski lidah tidak bertulang dan janji-janji boleh sahaja mudah diucapkan ketika sedang hangat menunggang gelombang asmara.

Ini antara sebabnya kenapa banyak pernikahan gagal separuh jalan. Disangkakan panas hingga petang, rupanya hujan di tengah hari. Habis kain jemuran di ampaian. Apabila salah seorang berubah hati, tiada lagi cinta, konflik membunga, akhirnya rumah tangga yang dibina hancur berkecai. Anak-anak jadi tak tentu hala.

Di sini kita temukan ilustrasi kepada kalimat ‘mutaghayyirat’ yang baru-baru ini menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan pemerhati politik liga kedai kopi dan group Whatsapp penyokong PAS yang tidak senang duduk melihat bibit-bibit asmara United Malays National Organisation dan partinya.

Politik ‘kluk-klek’

Minggu lalu, Mursyidul-Am PAS, Datuk Hashim Jasin dilapor mengajukan bahawa kerjasama PAS dengan seteru sepanjang zamannya itu adalah perkara ‘mutaghayyirat’ – boleh berubah-ubah mengikut keadaan. Lawan kepada kata ‘mutaghayyirat’ ialah ‘tsawabit’. Perkara-perkara tsawabit adalah perkara yang tetap dan tidak berubah.

Di kawasan Pantai Timur, kalimat ‘mutaghayyirat’ ini akan lebih difahami jika diungkapkan sebagai ‘kluk-klek’. Bunyi kluk-klek-kluk-klek ini – diberitahukan kepada saya ketika menyertai suatu ‘tamrin’ di Gong Badak satu ketika dulu, adalah bunyi papan jongkang-jongket. Naik turun kanan kiri di taman permainan kanak-kanak.

Keadaan kluk-klek inilah yang cuba dikelabukan melalui penggunaan ‘mutaghayyirat’, sepertimana adat parti Haji Hadi yang menggemari kalimat-kalimat Arab agar semuanya kelihatan Islami, halal, dibolehkan serta dipersetujui alim ulama.

Cuba kalau mursyidul-am PAS menyebut dalam ucapannya bahawa persekedudukan dengan UMNO itu adalah pendekatan kluk-klek, meletup satu dewan ketawa.

Kluk-klek adalah permainan politik PAS sejak sekian lama. Ia berkawan dengan sesiapa yang dirasakan boleh membawa faedah kepadanya, dan mudah sahaja memutuskan hubungan apabila faedah dan laba sudah tidak boleh diraih. Kemudian ia ‘menikah’ dengan yang lain pula.

Hal ini menjadikan kita semakin sangsi tentang matlamat dan maksud perjuangannya. Apakah agama dan syariah itu tujuan atau sekadar barang tunggangan bagi memenuhi maksud-maksud politik peribadi.

Sejarah telah merakam jejak PAS dalam gabungan-gabungan politik sejak menyertai Perikatan pada 1972, yang kemudian bertukar menjadi Barisan Nasional. Jodoh dengan BN ketika itu hayatnya cuma lima tahun. PAS kembali bujang untuk beberapa tahun lamanya, sehingga tidak larat lagi tidur sendiri pada tahun 1990. Ia menyertai Angkatan Perpaduan Ummah di tengah hangat pilihan raya umum kelapan. Jodoh itu juga terbantut di selepas PRU 1995, dan PAS kembali solo.

Almarhum Ustaz Fadzil Noor kemudiannya bingkas mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tercetusnya gerakan Reformasi, lalu membentuk Barisan Alternatif. Jodoh PAS bersama DAP dan Parti Keadilan ketika itu juga tidak panjang mana dan berakhir pada tahun 2004.

PAS hanya berbaki tujuh kerusi pada PRU tahun itu, dan hanya kembali berakal empat tahun kemudian. Itu pun kena kahwin paksa pada tahun 2008. Barangkali kerana terpaksa, jodohnya kekal sedikit lama sehingga bercerai lagi pada 2015, di kemuncak terbarainya skandal kewangan mega 1MDB. Entah apa faedah bercerai-berai di saat musuh berada dalam keadaan paling lemah.

Semenjak itu, PAS nampak tidak keruan. Buat seketika, kita mendengar tentang Kongres Rakyat yang entah apa nasibnya sekarang. Lebih bala lagi, kita juga tidak mengetahui apa yang terjadi dengan Gagasan Sejahtera yang ditunjangi PAS.

Gagasan Sejahtera menampilkan gabungan PAS, Ikatan dan parti selumbar PAS, Berjasa; ketika menyusun kerja menghadapi PRU ke-14. Tidak ada siapa lagi bercakap tentang gabungan ini.

Mengikat UMNO

Politik kluk-klek PAS kini sudah berpusing habis di susur masa sejarah, dan kembali mendakapi sahabat lamanya, UMNO. Seperti dua ekor anjing bergaduh yang tiba-tiba berdamai, bak kata Hashim Jasin.

“Dua ekor anjing sedang bergaduh kerana berebut tulang, tiba-tiba datang seekor serigala.

“Kedua-dua anjing tersebut berhenti bergaduh dan bertindak menyerang serigala kerana sedar serigala itu adalah musuh utama mereka.

“Itu anjing pun boleh berfikir. Jadi sekarang musuh utama kita siapa?” kata mursyid PAS itu.

Sudahnya anjing dijadikan perumpamaan. ‘Jebon-jebon’ Amanah bertepuk tangan menahan ketawa. Gerombolan jebon sudah masuk kerajaan pusat, jadi boleh lah ketawa besar.

Anjing berebut tulang, mahu bersekutu melawan serigala. Kalau serigala sudah habis dikalahkan nanti, adakah anjing-anjing akan kembali merebut ghanimah dan berlumba-lumba mendapatkan laba?

Adakah pernikahan politik PAS dan UMNO hanya sekadar usaha mengikat demi kepentingan sementara? Jawapannya sudah tentu ya. Inilah politik mutaghayyirat PAS yang menjadikan UMNO sebagai wasilah menyerang lawannya, sementara masih ada hangat asmara yang dikongsi bersama.

Apabila nanti sudah hambar dan tidak berseri lagi, pakat bercakar lah kembali.

Kemudian nanti apabila tanzimnya bertukar rupa, kembali lah medekati DAP pula barangkali? Mutaghayyirat lah katakan. – Roketkini.com