Rencana

Ada apa dengan Reformasi 20 tahun?

Gelombang Reformasi yang menyapa segenap ceruk Kuala Lumpur 20 tahun lalu pada 1998 tidak memberi makna besar kepada saya kerana ketika itu saya baru selesai SPM dan menganggur di kampung.

Sewaktu itu, saya hanya menjadi penagih ceramah dan kaset-kaset politik PAS dan sudah tentu celoteh pimpinan utama PAS seperti Hj Mat Sabu ketika itu amat dinanti-nantikan. Jika beliau ke Kampung Manjoi dan sekitar Ipoh, saya dan teman antara orang yang akan berlabuh punggung sambil makan kacang kuda depan pentas untuk mendengar perkembangan terkini Anwar Ibrahim dan gerakannya. Tak lebih dari itu.

Ketika itu saya hanya mendengar cakap orang bahawa Mahathir sudah jadi ‘Mahafiraun’ kerana memecat Anwar. Tiba-tiba saya mendapat tahu lagi mata kiri Anwar lebam dan ini menambah keyakinan saya bahawa Mahathir memang betul ‘Mahafiraun’ – dalam hati kecil saya berasa sedih kerana Anwar sebagai pemimpin pemuda Islam merupakan gandingan mantap Mahathir yang disegani dunia, mengapa jadi begini.

Jauh dari gelak tawa pimpinan PAS yang pada awalnya ‘mempertawakan’ nasib Anwar kerana dipecat Perdana Menteri keempat, Reformasi 1998 telah menjadi pencetus penyatuan, ujian kesetiakawanan dan sudah pasti harus dicatatkan dalam buku-buku teks sejarah.

20 tahun kemudian, sekarang ini saya terfikir, bayangkan jika Dr Mahathir tidak memecat Anwar, maka, gerakan reformasi mungkin takkan wujud dan tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan Malaysia jika Anwar terus berada dalam bahtera UMNO yang dihinggapi penyakit rasuah kronik.

Jika di Indonesia laungan ‘keramat’ reformasi memakan korban darah dan ketidakstabilan politik – ekonomi, semarak reformasi di Kuala Lumpur pula telah memberi nafas segar kepada politik Malaysia di sebalik ketakutan regim pemerintah yang mengenakan pelbagai sekatan untuk membantutkan gerakan ini.

Inilah kali pertama Masjid Negara dipenuhi anak semua bangsa memberi solidariti kepada Anwar. Itulah juga kali pertama, Malaysia menyaksikan politik ‘bogel-membogel’ paling parah disamping keretakan UMNO dan inilah kali pertama yang benar-benar menguak minat saya sebagai remaja ketika itu untuk terlibat langsung dalam politik kepartian. Saya yakin, ramai di kalangan pembaca juga mendapat pencerahan politik sepanjang tahun-tahun geledak bara reformasi.

Natijah Reformasi 1998 tidak boleh dinafi. Meski kerajaan UMNO ketika itu melancarkan perang terang-terangan ke atas gerakan yang diasaskan Anwar ini, gerakan reformasi telah secara langsung memberi kesan besar kepada lanskap politik tanah air khususnya kepada parti-parti politik pembangkang, pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivik dan Islam, golongan berhaluan kiri dan menyemarakkan gerakan aktivisme pelajar.

Inilah juga detik masyarakat luar bandar, orang Melayu khususnya di ajar untuk menjadi ‘kurang ajar’ dan keluar dari kerangka politik feudal yang menjadi darah daging di bawah pemerintahan regim UMNO-Barisan Nasional selama lebih empat dekad. Rakyat mula berani secara terang-terangan bersuara menentang penguasa. Tidak kurang juga yang makan asap dan belantan FRU sewaktu turun ke jalan raya.

Bermula dari detik itu, pembangkang utama iaitu PAS, DAP, Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia mampu duduk semeja dan mengadakan pakatan longgar supaya tidak bertembung di antara satu dengan yang lain dalam pilihan raya.

Pendek kata, melalui pakatan longgar pembangkang berdepan pilihan raya tahun 1999, pembangkang berjaya menubuhkan Barisan Alternatif (2004), disusuli Pakatan Rakyat (2008) dan akhirnya Pakatan Harapan.

Saya percaya, tanpa dinamika politik yang tercetus hasil pemecatan Anwar tahun 1997, Pakatan Harapan mungkin tidak wujud. Parti pembangkang mungkin akan terus berantakan sehingga sekarang.

Di sebalik kenyataan itu, kita tidak boleh menafikan kebijakan strategi politik yang dicatur mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat berjaya menumbangkan seluruh jentera kerajaan UMNO-BN dan Najib Razak pada PRU14 lalu.

Kehadiran Mahathir dan pasukannya menyertai Pakatan Harapan tepat pada ketika Anwar masih terpenjara manakala PAS semakin lunak terhadap UMNO – yang berjaya mengukuhkan lagi sokongan rakyat Malaysia kepada pakatan pembangkang.

Saya yakin, Malaysia Baru mampu menyaksikan gandingan mantap Mahathir – Anwar semula yang pada suatu ketika dahulu berseteru dan ini waktunya mereka mengukuhkan saf untuk menebus kembali maruah negara yang rabak dek kegelojohan kerajaan lampau pimpinan Najib Razak. – Roketkini.com