Berita

‘Belajarlah jadi pembangkang, henti tagih simpati demi kuasa’

Umno perlu berhenti mendekati parti dalam Pakatan Harapan dengan agenda untuk menaikki semula tangga kuasa selepas menjadi pembangkang susulan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Menurut pemimpin muda Sosialis Muda DAP (DAPSY), Muhammad Shakir Ameer, parti itu juga terdesak sehingga perlu mempergunakan slogan “menyelamatkan Melayu” untuk terus kekal relevan.

“Setelah lima bulan menjadi pembangkang Umno masih terdesak seperti nyawa-nyawa ikan ingin berunding dengan pelbagai pihak untuk naik ke tampuk kuasa untuk dengan alasan ‘menyelamatkan Melayu’,” katanya dalam satu kenyataan.

“Umno patut ambil ikhtibar bahawa sejak 2008 di mana Selangor dan Pulau Pinang bertukar kerajaan, Melayu tidak pernah ditindas dan kekal menyokong Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan dengan mandat lebih tinggi pada PRU13 dan PRU14 kerana prestasi pentadbiran yang cekap, amanah dan telus.

Beliau mengulas laporan yang mendedahkan Umno cuba untuk berunding dengan pihak Bersatu dan juga PKR dengan alasan kononnya ingin ‘selamatkan orang Melayu’.

Situasi Umno juga, kata Shakir, menjadi semakin parah apabila dua pemimpin kanan mereka bertindak keluar parti.

“Sejak Umno-BN tumbang pada PRU14 lalu, mereka semakin terdesak dan masih lagi tidak boleh menerima fakta bahawa Umno bukan lagi di tampuk kuasa.

“Situasi menjadi semakin teruk apabila Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapha Mohamad dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman telah keluar parti. Difahamkan situasi akan menjadi lebih teruk pada masa akan datang,” ujarnya.

Mustapa dalam kenyataan media baru-baru ini berkata beliau keluar Umno kerana menganggap hala tuju parti itu kini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya.

“Dan (hala tuju parti) tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula,” katanya.

Malah pemimpin Umno Kelantan itu menegaskan Umno seharusnya menjadi parti yang “inklusif, moderat dan berhaluan tengah” tanpa mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain.

“Inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk.

“Untuk menjadi relevan dalam dinamika politik nasional hari ini, Umno selaku peneraju BN tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata,” katanya. – Roketkini.com