Berita

Gagal letak Jho Low notis merah Interpol, Kit Siang minta KPN berundur

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun agar tidak berdolak-dalik berhubung penyenaraian ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho atau Jho Low dalam Notis Merah Interpol.

Veteran DAP itu mendakwa Fuzi gagal mematahui protokol Interpol dalam meletakkan nama Jho Low dalam senarai tersebut, sekali gus menggesa agar beliau berundur sebagai KPN.

“Beliau (Fuzi) patut letak jawatan kerana tidak dapat mematuhi protokol Interpol bagi meletakkan Jho Low ke dalam Senarai Notis Merah Interpol.

“Bulan lalu, Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan bapanya Larry Low Hock Peng bagi membolehkan kedua-duanya di hantar pulang ke Malaysia dan menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB.

“Dalam keadaan (mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap) itu, ia gambaran buruk mengenai tahap kemampuan, kecekapan dan profesionalisme PDRM,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan dari Canberra, Australia hari ini.

Semalam, Fuzi Harun berkata permohonan untuk menyenaraikan mana-mana individu dalam notis Interpol bergantung kepada protokol pasukan polis antarabangsa tersebut selain memakan masa bagi melalui proses teliti

Jun lalu, Jabatan Peguam Negara Singapura, Pasukan Polis Singapura dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura berkata Interpol telah meletakkan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho dan Tan Kim Loong dalam senarai notis merah sejak Oktober 2016 atas permintaan kerajaan negara itu. – Roketkini.com