Berita

Kerajaan harus pastikan status Sabah & Sarawak dikembalikan – Dr Kelvin Yii

Jaminan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan status Sarawak dan Sabah sebagai rakan sekutu dalam ucapannya sempena Hari Malaysia baru-baru ini memberi gambaran komitmen kerajaan terhadap agenda pembaharuan.

Menurut beliau, kajian semula terhadap Perjanjian Malaysia (MA63) akan menimbulkan keperluan penilaian semula terhadap beberapa amalan yang dilaksana sebelum ini.

Mengalu-alukan komitmen tersebut, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, hasrat kerajaan itu selari dengan Manifesto Harapan.

Katanya, beliau akan terus mengikuti perkembangan itu demi memastikan hasrat tersebut berjaya dilaksanakan.

“Antara yang kita akan beri tumpuan ialah pindaan Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan iaitu untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak.

“Sebelum ini, Artikel 1 menyatakan Persekutuan Malaysia terdiri daripada Malaysia, Sabah dan Sarawak sebelum ia dipinda pada tahun 1976,” ujar beliau lapor Borneo Post.

Perjuangan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara bukan pertama kali dibangkitkan oleh DAP.

Usul bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara juga pernah dibawa ke Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt pada 2016.

Bagaimanapun, usul berkenaan telah ditolak oleh Speaker Dewan ketika itu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, kononnya dengan alasan ia tidak selari dengan undang-undang. – Roketkini.com