Berita

Datuk Ariff Sabri ingin kembali ke Pekan

Datuk Mohd Ariff Sabri memberi gambaran akan kembali berpencak dalam gelanggang politik tanah air sebaik sahaja sihat dan pulih seperti sediakala.

Beliau menyatakan kesediaan menawarkan khidmat sebagai Anggota Parlimen sekiranya diberi ruang oleh parti untuk kembali ke Dewan Rakyat.

“Saya mempunyai niat kembali ke Pekan yang mungkin akan di adakan Pilihan Raya Kecil. Saya berharap dengan restu parti, saya mahu kembali berkhidmat di Dewan Rakyat,” katanya yang pernah menjadi Adun Pulau Manis pada  2004 hingga 2008 mewakili Umno.

Beliau berkata demikian melalui teks ketika dihubungi Roketkini.

Selain berpengalaman sebagai Adun, Ariff pernah memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan Umno Pekan di bawah Datuk Seri Najib Razak (2000-2004) yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri sebelum menyertai DAP pada tahun 2012.

Beliau kemudian menjadi calon dan memenangi kerusi Parlimen Raub pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya, detik bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 menyaksikan Umno semakin tenat apabila seorang demi seorang pemimpin Umno yang dikategori sebagai ‘orang baik’ seperti Datuk Seri Mustapha Mohamad dan Datuk Seri Anifah Aman  meninggalkan pertubuhan itu.

Kedudukan ini katanya memberi tamparan hebat kepada Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi yang sedang berusaha memulihkan keyakinan orang Melayu menerusi pakatan longgar bersama PAS.

UMNO semakin tenat

“Tindakan keluar Umno ini merupakan kegagalan pimpinan tertinggi UMNO kekalkan keyakinan orang-orang lama di dalam parti itu sendiri.

“Lebih-lebih lagi hala tuju parti yang makin menjurus kepada perjuangan perkauman sempit sukar diterima rakyat pelbagai kaum dan orang Melayu sendiri dan mereka ditewaskan oleh rakyat Malaysia pada PRU14,” jelas beliau.

Selain faktor itu kata Ariff, terdapat beberapa faktor lain menjadikan Umno semakin tidak diterima dan tenat.

“Rakyat khususnya orang Melayu sudah muak dengan Umno. Kalau sebelum ini Umno dakwa sebagai pejuang nasionalis, hakikatnya tidak, tapi menjurus kepada perjuangan perkauman yang jumud.

“Umno mainkan slogan tiup sentimen Melayu. Umno mengaku perjuangkan nasib Melayu. Ini adalah kepura-puraan. Siapa yang memerintah selama ini. Orang Melayu sendiri nampak itu sudah jadi sekadar alat untuk menarik simpati atau sokongan tiap kali pilihan raya.

“Hakikatnya, Umno di mata rakyat terbanyak melihat hanya memperjuangkan kepentingan pemimpin-pemimpin mereka sahaja. Pentadbiran BN sepanjang tempoh sembilan tahun Najib Razak jadi Perdana Menteri memperlihatkan banyak ketirisan sehingga negara dilabel sebagai negara kleptokrasi, negara penyangak, ini amat memalukan,” kata Ariff.

Tambah beliau, jika selama ini rakyat Malaysia memberi kesetiaan kepada Umno dan BN menunjangi pemerintahan, kepercayaan itu akhirnya dikhianati dengan penyelewengan dan penindasan.

“Orang Melayu yang menolak Umno sedar bahawa budaya kesetiaan membuta tuli dan feudal ini akhirnya menyebabkan negara terancam, jadi mereka tolak,” katanya lagi. – Roketkini.com