Rencana

Kit Siang gesa semua parti sokong had umur layak mengundi 18 tahun

Saya berasa begitu puas setelah mendapati apa yang saya perjuangkan sejak 1970-an di Parlimen – iaitu menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun – telah menjadi kenyataan selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Selepas Kabinet selesai bermesyuarat dua hari lalu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk menurunkan had umur layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Ia bagaimanapun memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan kemudiannya diluluskan oleh majoriti dua pertiga Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Saya menggesa semua parti pembangkang yang mempunyai wakil di Parlimen menyatakan sokongan mereka kepada pindaan tersebut.

Pada tahun pertama saya di Parlimen 47 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1971, (Parlimen digantung selama 18 bulan selepas Pilihan Raya Umum 1969 ekoran rusuhan 13 Mei dan darurat), saya mencadangkan tiga pembaharuan pilihan raya, iaitu:

– Menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun;

– Mendaftar pengundi yang layak mengundi secara automatik; dan

– Mewajibkan setiap rakyat Malaysia yang layak mengundi untuk mengundi.

Sejak saya mengutarakan cadangan untuk menurunkan had umur layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun pada 1971, kebanyakan negara-negara lain telah menerapkan pembaharuan pilihan raya tersebut, namun Malaysia agak ketinggalan dalam pembaharuan demokrasi, Parlimen dan pilihan raya.

Kini, Malaysia menempa perubahan besar untuk membina sebuah Malaysia Baharu hasil daripada keputusan bersejarah Pilihan Raya Umum 9 Mei 2018.

Malaysia hari ini telah menjadi sebahagian daripada beberapa negara yang melaksanakan pembaharuan pilihan raya dengan menurunkan had umur layak mengundi dari 21 ke 18 tahun.

Di rantau ASEAN, Malaysia dan Singapura adalah adalah dua negara yang masih mengekalkan had umur layak mengundi 21 tahun, walaupun remaja berusia 18 tahun, baik lelaki mahupun wanita, diberikan peranan serius dalam masyarakat sama seperti seorang dewasa, mampu memiliki hartanah dan memasuki kontrak.

Anak muda yang berusia 18 tahun harus diberikan hak untuk mengundi dan menyuarakan pandangan mereka mengenai bagaimana kehidupan mereka ditadbir dan bagaimana kerajaan diuruskan, memandangkan masyarakat mengharapkan mereka menanggung tanggungjawab sosial seperti orang dewasa, sama ada dikerahkan apabila berlakunya peperangan atau darurat, bahkan mengorbankan diri demi mempertahankan negara.

Di Thailand, Filipina, Vietnam, Laos, Cambodia, Myanmar, had umur layak mengundi adalah 18 tahun, sementara di Indonesia adalah 17 tahun.

Negara yang telah menurunkan had umur layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun sejak ucapan saya di Parlimen mengenai isu ini pada 1971 adalah Belanda, Amerika Syarikat, Finland, Sweden, Ireland, Filipina, Australia, Perancis, New Zealand, Itali, Trinidad and Tobago, Denmark, Spain, Peru, Belgium, India, Switzerland, Austria, Estonia, Hong Kong, Liechtenstein, Jordan, Pakistan, Morocco, Uzbekistan, Arab Saudi dan Jepun.

Negara yang telah lama memberikan hak mengundi kepada anak muda berusia 18 tahun semasa saya membangkitkan isu itu di Parlimen pada 1971 adalah termasuk United Kingdom, Turki, Poland, Kanada, dan German.

Malaysia agak ketinggalan dalam arus pembaharuan demokrasi dan pilihan raya di peringkat antarabangsa.

Kini Kabinet sudah meluluskan cadangan untuk pindaan kepada Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun, maka tiada lagi alasan untuk Malaysia menangguhkan lagi pelaksanaan tersebut dan meninggalkan negara-negara lain seperti Singapura, Cameroon, Lebanon, Samoa, Soloman dan Tonga yang masih tidak memberikan hak kepada anak muda berusia 18 tahun untuk mengundi. – Roketkini.com

*Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang pada 21 September 2018 di Sydney.