Berita

Kit Siang mahu usahakan lebih sokongan Melayu terhadap HARAPAN

Sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO hanya berbeza 5% berbanding Pakatan Harapan (PH), menurut kajian Dr. John Funston dari Jabatan Perubahan Sosial dan Politik, College of Asia and the Pacific of Australian National University (ANU).

Pakatan Harapan juga kini mempunyai lebih ramai wakil rakyat Melayu di Semenanjung berbanding Umno di mana terdapat 51 Ahli Parlimen berbangsa Melayu mewakili PH (PKR 26, Bersatu 13, Amanah 11, DAP 1.

Umno pula kini hanya mempunyai 49 orang Ahli Parlimen, setelah lima daripadanya meninggalkan Umno sejak 9 Mei 2018.

Berdasarkan dapatan kajian terbabit, daripada 10,347,357 undian; sebanyak 6,346,739 (61.34%) adalah pengundi Melayu dengan pecahan 36.6% atau 2,323,665 memilih Umno; 2,012,381 (31.7%) mengundi PAS; manakala 2,010,693 atau 31.7% pengundi Melayu memilih PH.

Analisis Funston berbeza dengan anggaran sebelum ini bahawa 35 hingga 40% orang Melayu mengundi Umno-BN, 30 hingga 33% mengundi PAS dan 25 hingga 30% mengundi Pakatan Harapan pada PRU14.

Tokoh veteran DAP Lim Kit Siang berkata, demi memastikan agenda Malaysia Baharu berjalan lancar, PH perlu menjadi kerajaan lebih daripada hanya satu penggal.

“Bolehkah kita pastikan bahawa pada PRU akan datang, kita bukan sahaja mampu mengekalkan sokongan daripada pengundi bukan Melayu, malah menambah lagi sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan bagi melawan kleptokrasi dan memastikan Malaysia menjadi sebuah kerajaan yang bersih dan jujur dan tidak korup, lebih-lebih lagi selepas pendedahan skandal 1MDB dan skandal serupa dalam MARA, FELDA, dan agensi kerajaan yang lain serta pendedahan aset RM2.1 bilion yang dimiliki pemimpin Umno.

“Ini adalah cabaran kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai impian untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara ulung bertaraf dunia dan menjadi contoh kepada dunia sebagai sebuah negara bersatu padu, harmoni, berjaya, demokratik, progresif dan makmur,” katanya dalam sebuah dialog di Universiti Kebangsaan Australia, Canberra, semalam.

Kit Siang kini dalam rangka lawatan ke beberapa tempat di Australia dan New Zealand sepanjang tempoh dua minggu bagi bertemu rakyat Malaysia di sana.  – Roketkini.com

Kredit foto: FB Idzuadi Hadi