Berita

Giatkan penguatkuasaan terhadap kilang proses sisa plastik haram – Lip Eng

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan penguatkuasaan terhadap kilang memproses sisa plastik haram, susulan laporan portal antarabangsa yang mendedahkan negara ini menjadi tapak pelupusan sampah yang diimport dari New Zealand dan Australia.

Beliau berkata, kilang yang didapati melakukan kesalahan itu harus diarahkan tutup dan menghentikan operasinya, selain menggesa agar pihak berkuasa yang bersubahat dengan pengusaha kilang dikenakan tindakan tegas.

“Pihak berkuasa yang bersubahat (dengan pengusaha kilang) harus dikenakan tindakan disiplin. Terlalu banyak kebetulan, kilang-kilang haram ini tutup semasa JAS melakukan serbuan.

“Malah diketahui umum bahawa kebanyakan kilang-kilang haram yang dimiliki oleh China dan beroperasi tanpa permit ini, turut mengguna tapak pelupusan sampah di Malaysia untuk membuang sisa toksik plastik secara haram,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan Radio New Zealand (RNZ) bahawa Malaysia menjadi tapak pelupusan sisa plastik dari New Zealand dan Australia.

Laporan ini muncul selepas kira-kira dua bulan akhbar tempatan melaporkan pencemaran serius berlaku di Kuala Langat, Selangor akibat daripada aktiviti di kilang memproses sisa plastik.

Susulan itu, kerajaan Malaysia mengeluarkan arahan menggantung pengeluaran permit import (AP) ke atas plastik pada 23 Julai, namun ia ditarik semula pada 13 Ogos lalu.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa kebanyakan kilang haram tersebut menghentikan operasi pada hari pemeriksaan dijalankan oleh JAS sehingga mengundang keraguan.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan berkata, 114 kilang dan syarikat kitar semula di seluruh negara yang memegang AP import harus dikawal selia secara berkala, diaudit dan melapor kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung Isu Alam Sekitar.

Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan agar mengawal selia aktiviti import plastik HS391 dan menyiasat pihak kastam berhubung jumlah sisa plastik yang dibawa masuk secara haram ke negara ini.

“Alam sekitar dan kesihatan rakyat kita kini dalam bahaya. Kita tidak boleh terus membiarkan perkara ini terjadi,” tegasnya. – Roketkini.com