Rencana

Najib Razak dan Jho Low – siapa yang akan tikam dulu?

Malaysia tidak pernah menjadi terkenal atau tidak terkenal di dunia sejak seminggu lalu selepas dua buku tentang skandal rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB diterbitkan – semuanya atas alasan yang salah.

Saya berasa malu apabila mendapati buku “The Billion Dollar Whale” karangan Tom Wright dan Bradley Hope dipamerkan di kedai-kedai buku di Australia, sama ada di lapangan terbang atau di bandar-bandar Australia yang saya lawati.

Saya tertanya-tanya bagaimana agaknya reaksi dua watak protagonis 1MDB, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan hartawan Pulau Pinang, Jho Low.

Adakah Najib bangga bahawa buku yang mengisahkan mengenai skandal membabitkan dirinya itu sedang bersaing untuk mendapatkan ruang di kedai-kedai buku dengan buku “Fear” yang menghuraikan malapetaka pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di White House oleh Pemenang Hadiah Pulitzer, Bob Woodward.

Adakah Jho Low merasa bahawa dia telah mencapai kemuncak kemasyuran global sebagai subjek buku terlaris di dunia tentang bagaimana seorang lelaki muda berusia 20-an berjaya membolosi sistem kewangan antarabangsa untuk mendapatkan puluhan bilion ringgit, walaupun ia milik 30 juta rakyat Malaysia dan generasi seterusnya yang perlu membayar wang yang dirompak secara kreatif itu?

Tetapi satu soalan menarik timbul ketika saya membaca laporan terbaru dari Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, bahawa Jho Low sedang mencari penyelesaian dengan Jabatan Keadilan AS mengenai litigasi kleptokratik terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat untuk merampas kira-kira AS$1.7 bilion yang berkaitan dengan aset 1MDB di Amerika Syarikat.

Persoalan yang menarik itu adalah daripada kedua-dua mereka, Najib dan Jho Low, siapa yang akan mula menikam satu sama lain dalam “kes kleptokrasi terburuk” 1MDB.

Percubaan Jho Low untuk mencari penyelesaian berhubung saman DOJ AS itu bukan menjadi kes pertama seumpamanya.

Malah anak tiri Najib, Riza Aziz, juga sudah melakukan perkara sama.

Pada Mac tahun ini, Red Granite Pictures – syarikat pengeluaran filem yang dikaitkan dengan skandal 1MDB – mencapai penyelesaian dengan kerajaan AS berhubung tuntutan berjumlah AS$60 juta (RM234 juta).

Bayaran itu sebagai ganti kepada aset Red Granite yang mahu dirampas oleh DOJ, sebagai sebahagian daripada saman pelucutan sivil yang melibatkan 1MDB.

Mengikut penyelesaian itu, ketua pegawai eksekutif Red Granite, Riza Aziz – anak tiri Najib – hanya akan menerima gaji terhad untuk melayakkannya menerima insurans kesihatannya sehingga jumlah pembayaran penuh dibayar.

Riza – ‘pemegang saham majoriti’ – tidak akan terus mengambil gaji, selain daripada jumlah minimum yang diperlukan untuk memastikan kesinambungan perlindungan insurans kesihatan di bawah pelan Red Granite, sehingga jumlah pelucuthakan telah dibayar sepenuhnya.

DOJ mendakwa bahawa AS$64 juta yang didakwa merupakan dana 1MDB yang diselewengkan telah disalurkan kepada Red Granite, dan digunakan untuk membiayai penerbitan filem, termasuk filem “The Wolf of Wall Street” oleh Martin Scorsese pada 2013.

Menurut dokumen mahkamah, Red Granite tidak mengakui sebarang liabiliti atau salah laku di bawah penyelesaian tersebut.

Pembayaran akan dibuat melalui tiga fasa, yang akan melihat keuntungan daripada filem “Daddy’s Home” pada tahun 2015 dipindahkan daripada pengedar Paramount Pictures ke akaun yang dikawal oleh kerajaan AS dan disalur semula ke Red Granite sebaik jumlah penyelesaian dibayar sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan, Red Granite berkata pihaknya gembira kerana akhirnya perkara itu telah diselesaikan dan berharap “dapat memfokuskan semula semua perhatian kami kepada perniagaan filem kami”.

Red Granite menegaskan bahawa ia tidak sengaja menggunakan wang yang dicuri untuk membiayai filemnya.

Riza dituduh menggunakan dana itu untuk membeli hartanah mewah dari ahli perniagaan Jho Low, serta poster filem.

DOJ mendakwa bahawa anak tiri Perdana Menteri itu juga mendakwa bahawa AS$94 juta daripada dana 1MDB yang diterimanya adalah “hadiah”.

Dalam laporan terbaru di portal Sarawak Report, dikatakan bahawa pasukan undang-undang Low yang baru, yang diketuai oleh bekas pendakwa raya persekutuan dan Gabenor New Jersey, Chris Christie, bakal mengadakan pertemuan di peringkat atasan dengan pegawai DOJ.

Menurutnya, percubaan untuk mencari penyelesaian itu adalah pengakuan dari Low yang dia tidak mungkin dapat menyakinkan mahkamah AS untuk mengembalikan aset bernilai sekitar AS$1.2 bilion yang telah dirampas oleh pihak berkuasa atas alasan bahawa ia didakwa diperolehi menggunakan dana yang dicuri dari 1MDB.

“Bagaimanapun, dengan membuat perjanjian itu, hartawan yang menghadapi tuduhan jenayah di Malaysia, Singapura, Switzerland dan di tempat lain, termasuk Amerika Syarikat, berharap untuk mengekalkan beberapa nilai aset tersebut,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, perkara ini berlaku di tengah-tengah kebimbangan bahawa pasukan undang-undang itu sendiri telah dibayar oleh Low menggunakan dana yang didakwa dicuri dari 1MDB.

Kata laporan itu lagi, kesediaan AS untuk berbincang mengenai penyelesaian tersebut adalah supaya ia boleh memberi tumpuan kepada aspek lain dalam skandal 1MDB, seperti peranan gergasi kewangan Goldman Sachs dalam mengatur bon bernilai berbilion ringgit untuk 1MDB yang kemudiannya disalahgunakan.

“Bank itu telah menimbulkan kemarahan dan perasaan tidak senang orang Amerika ekoran peranannya dalam menyebabkan kejatuhan pasaran saham pada tahun 2008 dan belum ada pengurus bank yang telah diarahkan untuk memberi penjelasan setakat ini.

“Kecuaian yang ketara dan jumlah wang yang besar yang diperoleh melalui 1MDB telah memberikan para penyiasat AS bukti yang paling menarik terhadap apa yang dikatakan oleh ramai sebagai tingkah laku penyangak oleh bank besar itu,” katanya.

Bagaimanapun, laporan itu berkata penyelesaian berkenaan pasti tidak akan dipersetujui pihak berkuasa Malaysia.

Ia menambah bahawa Amerika Syarikat baru-baru ini juga enggan memberikan jaminan kepada Malaysia bahawa semua aset yang disita yang telah diperoleh dari dana 1MDB yang dicuri akan dikembalikan secara keseluruhannya.

“Ini tidak bermakna AS tidak akan mengembalikan wang itu ke Malaysia, tetapi ia bermakna Amerika Syarikat bertegas untuk mengawal proses itu dan termasuk kemungkinan menyelesaikan kes itu kurang daripada jumlah keseluruhan,” kata sumber seperti dipetik laporan itu.

Adalah sesuai untuk mendapatkan penjelasan dari pihak berkuasa mengenai perkembangan skandal 1MDB ini. – Roketkini.com