Berita

Selangor tegas perangi penjualan arak haram

Kerajaan Negeri Selangor akan bertindak tegas untuk membatalkan lesen dan menutup mana-mana premis yang menjual minuman keras secara haram kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han.

Menurutnya, pihaknya telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor meningkatkan operasi terhadap premis menjual minuman keras terutama di kawasan tumpuan warga asing.

“Usaha pemeriksaan ini sememangnya selalu diadakan, tetapi berikutan kejadian keracunan alkohol kerana meminum arak haram baru-baru ini, saya mengarahkan semua PBT menjalankan pemeriksaan lebih kerap lagi.

“Kami tidak akan teragak-agak membatalkan lesen dan mengarah tutup mana-mana premis perniagaan seperti kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam yang didapati menjual arak haram kepada pengguna,” katanya lapor Bernama baru-baru ini.

Justeru, satu perjumpaan dengan yang dipertua semua 12 PBT di Selangor telah diadakan bagi membincang perkara tersebut jelasnya.

Beliau berkata demikian mengulas insiden kematian lebih 30 orang terdiri daripada warga asing dan tempatan meninggal dunia, manakala berpuluh lagi dirawat di hospital sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan akibat keracunan.

Mangsa yang meninggal dunia membabitkan dua rakyat Malaysia, dua Bangladesh, lapan warganegara Nepal, 10 warga Myanmar, seorang warga India dan seorang individu yang tidak diketahui identitinya. – Roketkini.com