Rencana

Kata-kata Tok Pa perlu jadi azimat baharu Umno

Rakyat yang membuang undi bagi menolak Umno-Barisan Nasional (BN) dari kerusi kuasa pada 9 Mei, dan mengangkat Pakatan Harapan – sebuah gabungan pembangkang – menjadi kerajaan sekali gus memaknakan dan menghidupkan kembali kemurniaan demokrasi yang telah lama mati, harus merasa bimbang dengan perkembangan mutakhir ini.

Umno yang terbiasa lebih 60 tahun memegang aparat kerajaan, kini tidak berasa selesa bergelar orang luar (outsider) sehingga terpaksa menjelmakan diri menjadi parasit dan menagih simpati parti-parti yang sanggup menghulur tangan demi terus kekal relevan dalam Malaysia Baharu.

Umno tidak seperti Umno dulu yang benar-benar memperjuangkan survival masyarakat Melayu dan ini diyakini sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan mantan Presiden Umno selama 22 tahun. Umno kini mendakap slogan “hidup Melayu” hanya sekadar untuk terus kekal berkuasa dan wujud. Hakikatnya Umno itu sudah mati, yang tinggal hanya slogan dan perut pemimpinnya (atau Datuk Lokman Noor Adam).

Namun, tindakan sesetengah parti yang menerima secara terbuka bekas pemimpin Umno mengundang perasaan tidak senang pelbagai pihak. Pada satu sudut, perkembangan itu dilihat sebagai satu yang positif, apabila lebih ramai pemimpin Umno mulai sedar bahawa parti yang dianuti mereka sejak sekian lama itu tidak lagi mampu mendukung aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataan media mengisytiharkan dirinya keluar dari Umno berkata: “Umno harus menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah.

“Umno mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tanpa sesekali mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain.

“Saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia majmuk.”

Ada yang memandang sinis kenyataan Mustapa atau lebih mesra dipanggil Tok Pa, dengan menuduh pemimpin dari Kelantan itu telah diugut oleh kerajaan Pakatan Harapan sehingga terpaksa keluar parti. Namun, apa jua alasannya atau keraguan tentang kejujuran beliau, kata-kata Tok Pa tentang Umno harus dijadikan azimat dan hala tuju baharu kepada parti tersebut yang kini menghadapi krisis eksistensial.

Umno harus kembali kepada asas realitinya dan meninggalkan terus peranannya sebagai peraih undi dengan menggunakan sentimen kaum dan agama. Ia harus sedar bahawa sentimen perkauman yang dibawanya adalah antagonis sosial paling fundamental yang menyekat pembangunan negara, menjadikan Malaysia dewasa ini terkebelakang berbanding negara-negara jiran dalam banyak perkara di peringkat antarabangsa.

Hasrat Malaysia Baharu yang lebih inklusif tidak akan tercapai sekiranya semboyan perkauman terus ditiupkan. Umno tidak perlu menjadi parasit, cukup menjadikan kata-kata Tok Pa sebagai renungan dan kembali menjadi sebuah parti bermaruah, sekali gus pembangkang yang berkesan, menjadi semak dan imbang kepada kerajaan kini yang usianya tidak sampai setahun.

Apa jua permainan real-politik yang sedang dirancang di balik tabir demi kelangsungan kuasa, Umno seharusnya tidak harus diajak berunding. Ia harus kekal sebagai orang luar dan memperbaiki dirinya. Malaysia Baharu, selain melaksanakan pembaharuan institusi dan membanteras rasuah serta salah guna kuasa, juga tidak dapat tidak mengakui keperluan sebuah pembangkang yang kuat bagi mengerakkan demokrasi sebenar di negara ini.

Umno dengan segala ilmu sepak terajang politik pasti mampu bermuhasabah, ia harus dibiarkan untuk kembali mengenal tanah dan lumpur, membanting tulang dan menyeka keringat, sebelum boleh membina struktur baharu dan menjadi pembangkang yang bermaruah. Tindakan menyuap kuasa kepada Umno tidak akan memulihkan barah perkauman yang sejak sekian disimpan parti tersebut.

Setelah itu, (mungkin) lebih mudah untuk rakyat menuntut itu dan ini daripada kerajaan, seperti yang telah dijanjikan mereka, dalam ucapan-ucapan politik. – Roketkini.com