Berita

Isu Rohingya: Malaysia perlu desak negara Asean tekan Myanmar

Kerajaan Malaysia perlu menggesa negara anggota Asean agar mengenakan tekanan terhadap kerajaan Myanmar bagi menghentikan keganasan terhadap etnik Rohingya di negara itu.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, Malaysia harus mengetuai inisiatif tersebut memandangkan ia kini menempatkan hampir 200,000 pelarian etnik Rohingya dan sering memperjuangkan nasib bangsa tertindas itu.

“Kita perlu menghantar mesej yang jelas kepada junta Myanmar bahawa penderaan yang disasarkan terhadap rakyatnya sendiri tidak boleh diterima, melanggar hak asasi mereka dan juga melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

“Kita mempunyai kira-kira setengah juta pelarian di Malaysia dan kita memerlukan dasar pelarian komprehensif yang melihat akses kepada pekerjaan, penjagaan kesihatan dan pendidikan berstruktur untuk setiap satu daripada mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Charles, usaha tersebut tidak harus ditangguh lagi kerana Pakatan Harapan sendiri berjanji dalam manifestonya untuk menyelesaikan perkara itu mengikut Konvensyen Pelarian PBB 1951 yang telah ditandatangi Malaysia.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-73 yang mengutuk tindakan berdiam diri Kaunselor Myanmar Aung San Suu Kyi terhadap keganasan yang dilakukan tentera junta ke atas etnik Rohingya.

Dr Mahathir, pada pentas yang sama, turut menyatakan bahawa Malaysia tidak lagi menyokong kepimpinan Suu Kyi sebagai protes terhadap cara kerajaan Myanmar menangani krisis Rohingya di negara itu. – Roketkini.com