Berita

Gagal kecam Najib Razak dalam perhimpunan agung, Umno terus dibayangi skandal 1MDB

Umno terus dibayangi skandal 1MDB apabila gagal mengambil peluang dalam perhimpunan agung yang lalu untuk mengecam dan memecat bekas presidennya Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana kekayaan berdaulat itu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata, Umno dan pemimpinnya harus bertaubat dan memperbaiki dirinya atas kegagalan itu.  

“Tetapi bukan sahaja Umno dan pemimpin Umno yang perlu bertaubat dan memperbaiki dirinya, kesemua parti politik, individu dan organisasi yang bersubahat dengan skandal 1MDB, seperti parti Barisan Nasional termasuk MCA, Gerakan, MIC, parti BN di Sabah dan Sarawak, malah PAS, Speaker Parlimen dan media cetak dan elektronik, yang bersubahat dalam skandal 1MDB, harus bertaubat dan menebus kesalahan kerana secara langsung atau tidak langsung membantu dan menyokong Najib Razak dalam skandal mega 1MDB,” ujarnya dalam kenyataan.

Malah, MCA yang sebelum ini disaran oleh Umno untuk ‘menempah batu nisan’ – ekoran menang hanya satu kerusi dalam pilihan raya umum lepas – terlepas peluang membersihkan dirinya daripada skandal 1MDB apabila gagal mengecam Najib dalam perhimpunan agung mereka, tambah Kit Siang.

Umno dalam perhimpunan agung baru-baru ini dilihat gagal menawarkan pembaharuan yang diharapkan ahli akar umbi parti itu selepas tewas mengejut kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Parti itu juga mengalami krisis kepimpinan apabila ramai pemimpin veteran dan kanan bertindak keluar parti ekoran tidak tidak berpuas hati dengan hala tuju parti selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil alih pucuk pimpinan Umno. – Roketkini.com