Berita

Mahu sembunyi kelemahan pentadbiran, PAS mainkan sentimen perkauman – Guan Eng

PAS kelihatan terlalu terdesak mahukan undi daripada masyarakat Melayu dan Islam di Port Dickson sehingga sanggup menuduh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya tidak konsisten dalam mempertahankan jati diri sebagai seorang Islam hanya kerana melawat rumah ibadat bukan Islam.

Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, walaupun Anwar tidak menyertai mana-mana majlis keagamaan dalam lawatannya ke rumah ibadat tersebut, beliau tetap dituduh PAS sebagai orang Islam yang tidak boleh dipercayai.

“Permusuhan sebegitu sangat bahaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Semua rakyat Malaysia harus menyatakan sokongan mereka kepada Anwar, calon yang mewakili aspirasi Pakatan Harapan yang berhasrat untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama, tadbir urus baik, merayakan kepelbagaian dan dasar inklusif.”

Beliau berkata demikian mengulas tuduhan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Anwar, yang merupakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, tidak konsisten dalam pendiriannya terhadap Islam kerana melawat rumah ibadat bukan Islam.

Anwar dalam reaksinya berkata, PAS juga pernah menyertai kempen beliau ke rumah-rumah ibadat semasa berada dalam gabungan Pakatan Rakyat.

“Dulu masa dalam Pakatan Rakyat saya pergi rumah ibadat lain boleh. Orang PAS pun ramai datang dulu.

“Apa yang penting kita tahu apa kita buat dan saya bukan ke kuil untuk sembahyang tetapi menghadiri majlis yang diadakan di perkarangan kawasan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Guan Eng mengajak rakyat Malaysia menolak prejudis dan permusuhan terhadap rumah ibadat agama lain.

“Sekiranya orang Islam melawat atau menghadiri acara di gereja-gereja, kuil-kuil Cina dan India adalah salah, maka ini adalah kemunduran untuk toleransi kaum dan keharmonian agama,” katanya.

Malah, kata Guan Eng, PAS berterusan mengapi-apikan sentimen negatif dalam kalangan masyarakat Melayu dan Islam terhadap kumpulan minoriti bagi mendapatkan laba politik dan menyembunyikan kelemahan mereka dalam mentadbir kerajaan.

“PAS tiada rekod ekonomi yang boleh dibanggakan menerusi pentadbirannya di Kelantan, yang pada asasnya sebuah ekonomi gagal dengan bajet defisit, yang bergantung kepada bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji penjawat awam di Kelantan,” katanya. – Roketkini.com