Berita

DAP gesa segera mansuh Akta Hasutan

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh kesal dengan pengumuman Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman bahawa Akta Hasutan 1948 akan tetap digunakan sehingga ia dipinda dan dimansuhkan.

Menurut Ramkarpal, daripada terus mempertahankan undang-undang tersebut, adalah lebih baik Azis membuat pengumuman berhubung pemansuhannya secepat mungkin.

“Adalah tidak sukar untuk memansuhkan Akta Hasutan kerana langkah tersebut kemungkinan besar akan menerima sokongan di Parlimen sepertimana pemansuhan GST.

“Jika GST boleh dimansuhkan sejurus selepas PRU14, perkara sama sepatutnya terpakai untuk Akta Hasutan,” katanya yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang DAP dalam kenyataan.

Malah, katanya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menggesa agar pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap pihak yang mengkritik beliau.

“Bukan lagi rahsia bahawa Akta Hasutan disalah guna sebelum ini untuk menghalang perbezaan pandangan politik dan digunakan secara berterusan, kerajaan kini mungkin akan dilihat seperti tidak ada bezanya dengan pendahulunya dalam hal ini.

“Diharapkan pengumuman bahawa Akta Hasutan akan dimansuhkan dibuat secepatnya dan Azis sepatutnya berusaha ke arah tersebut dan bukannya mempertahankan penggunaan berterusan (Akta Hasutan) semata-mata atas alasan ia masih berkuatkuasa,” katanya.

Sementara itu, Azis dalam satu kenyataan balas berkata penjelasan mengenai Akta Hasutan itu tidak bermaksud beliau bersetuju undang-undang itu digunakan terhadap mana-mana individu.

“Ingin ditegaskan disini, tidak ada arahan daripada pihak pimpinan kerajaan supaya akta tersebut digunakan ke atas mana-mana individu tertentu seperti didakwa.

“Malah kerajaan Pakatan Harapan tidak menggalakkan supaya akta tersebut digunakan,” jelasnya.- Roketkini.com