Rencana

Kenakan moratorium ke atas pelaksanaan Akta Hasutan 1948

1.   Saya merujuk kepada kenyataan media Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato’ Mohd Azis Jamman pada 4 Oktober 2018, yang merupakan respons kepada kritikan terhadapnya mengenai kenyataannya sebelum itu berkenaan dengan Akta Hasutan 1948 (“Akta Hasutan”).

2.   Saya menyedari bahawa pada peringkat ini, pemansuhan Akta Hasutan belum dimuktamadkan lagi, walaupun manifesto Pakatan Harapan menjanjikan bahawa undang-undang seperti Akta Hasutan akan dimansuhkan.

3.   Namun demikian, perlu diingati bahawa Akta Hasutan adalah suatu undang-undang anti-demokratik peninggalan British untuk memastikan bahawa rakyat di bawah jajahan mereka dahulu tidak bangkit untuk menentang mereka.

4.   Akta Hasutan menjenayahkan ekspresi yang dikatakan mempunyai ‘kecenderungan menghasut’. Kecenderungan menghasut ini merangkumi pelbagai perkara yang menjadikan undang-undang ini mudah disalahgunakan untuk tujuan politik.

5.   Perlaksanaan Akta Hasutan ini mewujudkan ‘kesan menakutkan’ atau chilling effect di kalangan rakyat dan menyekat kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

6.   Adalah jelas bahawa undang-undang seperti Akta Hasutan ini tidak mempunyai tempat di dalam Malaysia Baharu yang menjanjikan ruang demokratik yang luas dan bebas.

7.   Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa walaupun undang-undang tersebut masih belum dimansuhkan dan berkuatkuasa, pihak berkuasa tidak sepatutnya terus membuat penahanan ataupun penyiasatan menggunakan Akta tersebut.

8.  Pihak berkuasa perlu menukar cara mereka bertindak seperti di bawah Kerajaan terdahulu. Sekiranya benar ada standard operating procedure (SOP) berkaitan dengan Akta Hasutan, SOP tersebut wajar disemak semula. SOP tidak boleh dijadikan alasan untuk terus menyekat kebebasan asasi rakyat.

9.   Saya mengulangi seruan yang telah dibuat sebelum ini supaya pihak Kerajaan mengenakan moratorium ke atas pelaksanaan dan penggunaan Akta Haustan dan akta-akta drakonian yang lain sehingga ia dimansuhkan kelak. Moratorium itu haruslah merangkumi aspek seperti penyiasatan, penahanan dan pendakwaan di bawah Akta tersebut.

*Syahredzan Johan adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.