Berita

Tubuh jawatankuasa khas siasat kes bunuh Kevin Morais, Altantuya

Malaysia dihantui dengan pelbagai kes pembunuhan penuh misteri yang menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Antaranya termasuk kes pembunuhan pengasas AmBank Hussain Najadi, timbalan pendakwa raya Kevin Morais, model warga Mongolia Altantuya Shaariibu serta pembantu politik DAP Teoh Beng Hock.

Justeru itu, Kit Siang menggesa agar kerajaan Pakatan Harapan mencari jalan untuk menyelesaikan misteri kematian individu-individu tersebut dengan membuka semula kes dan menubuhkan pasukan siasatan khas.

“Saya ingin menggesa kerajaan Pakatan Harapan menimbang untuk mencari jalan bagaimana kematian penuh misteri ini boleh diselesaikan, termasuk membuka semula siasatan dan menubuhkan pasukan siasatan khas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Kes bunuh Morais menjadi perhatian baru-baru ini selepas salah seorang tertuduh memberitahu mahkamah beliau ditawarkan wang untuk mengaku membunuh mendiang Kevin.

Tertuduh ketujuh, S. Ravi Chandran, 47 tahun memberitahu mahkamah bahawa suatu tawaran bernilai RM3.5 juta dibuat kepadanya melalui seorang pegawai penjara daripada mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terbaru, saksi pembelaan keenam terbabit menafikan bahawa keterangan beliau berkenaan tawaran tersebut adalah pembohongan, seperti yang didakwa Najib.

Ravi turut tidak bersetuju dia kini berada dalam situasi ‘terkapai-kapai’ sehingga sanggup mengaitkan kepada sesiapa sahaja termasuk bekas perdana menteri yang ketika sedang disiasat Jabatan Peguam Negara. – Roketkini.com