Berita

Harga pakej permulaan jalur lebar turun lebih 30%

Saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo agar harga jalur lebar talian tetap diturunkan disambut baik syarikat telekomunikasi negara ini.

Syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia (TM), Maxis, TIME dotcom (TIME) dan Celcom kini menawarkan pakej permulaan pada harga di bawah RM100 atau pengurangan lebih 30% daripada harga asal, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan.

Gobind pada Jun lalu mengumumkan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) bagi menurunkan harga jalur lebar talian tetap dan menjangkakan ia akan dikurangkan sekurang-kurangnya sebanyak 25% menjelang 31 Disember 2018.

“Kesemua syarikat telekomunikasi kini menawarkan pakej permulaan di bawah RM100 berserta pakej yang menawarkan kelajuan lebih tinggi pada harga lebih rendah,” kata MCMC.

Pakej permulaan TM bagi 30 Megabits sesaat (Mbps) sebelum pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) pada kadar RM139 kini berharga RM79, sementara pakej permulaan Celcom 40 Mbps selepas MSAP berkurangan kepada RM80 daripada RM180, pakej permulaan Maxis 30 Mbps sebelum MSAP pada kadar RM139 kini menjadi RM89 dan pakej permulaan TIME 100 Mbps pada harga RM149 sebelum MSAP kini RM99.

Manakala, pakej TIME pada kelajuan 500 Mbps kini berharga RM139 sementara pakej TIME dengan kelajuan 1 gigabit sesaat (Gbps) kini berharga RM199.

MCMC berkata, pelaksanaan MSAP yang disusuli dengan penurunan harga adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan jalur lebar pada harga yang berpatutan, malah berkualiti tinggi dan bertaraf dunia.

“MCMC akan terus bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk terus meningkatkan kualiti jalur lebar di Malaysia,” katanya. – Roketkini.com