Berita

Gobind gesa SPRM percepat siasat penyelewengan dana Finas

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mempercepatkan siasatan berhubung dakwaan kehilangan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi memudahkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melakukan penstrukturan semula agensi tersebut.

Justeru, kata Menterinya Gobind Singh Deo, kes yang melibatkan penyelewengan berjumlah 25 juta berkenaan harus dimuktamadkan dengan kadar segera.

“Saya tidak menyatakan sesiapa bersalah tetapi apa yang penting ialah kerana wujudnya aduan, dan aduan itu dalam siasatan, kita mahu lihat hasil siasatan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan pelaburan ‘Malaysia: A New Dawn Investors’ Conference’, di Kuala Lumpur, hari ini.

Gobind yang juga Timbalan Pengerusi DAP berkata pihaknya telah menghantar surat kepada SPRM pada 30 Ogos lepas bagi mendapatkan status terbaru siasatan.

SPRM dalam maklum balas pada 12 September berkata kes berkenaan masih lagi dalam siasatan.

Finas sebelum ini dilaporkan disiasat oleh SPRM berhubung salah laku dan penyelewengan. – Roketkini.com