Berita

Guan Eng kerja keras selamatkan ekonomi – Anwar Ibrahim

Kerajaan Pakatan Harapan terpaksa mewarisi beban hutang yang besar akibat skandal kewangan yang berlaku semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kerajaan baharu PH terpaksa berusaha keras mencari pelbagai cara bagi menangani ketirisan yang berlaku akibat salah urus tadbir kerajaan terdahulu.

“Saya beritahu Lim Guan Eng (Menteri Kewangan), nasib baik saya bukan Menteri Kewangan. Pening kepala Menteri Kewangan Malaysia.

“Nasib baik saya masa itu masih duduk dalam penjara lagi. Kalau tidak jadi macam Guan Eng. Kerja kena keras untuk selamatkan ekonomi,” katanya pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan Lukut semalam.

Anwar yang merupakan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan pada 1991 sehingga 1998 di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar dalam pada itu, turut mengenang jasa Ahli Parlimen Seri Iskandar, Lim Kit Siang yang dianggap beliau sebagai hero dan “senior” di Parlimen.

“Orang yang paling senior pengalaman, jaga dan tahu peranan Parlimen adalah kita punya sahabat, hero kita, saudara Lim Kit Siang.

“Saya tak pernah lupa, dia lawan, juga masuk penjara, keluar penjara. Dan sekarang, tiada apa jawatan. Jadi saya bagitahu Tun Mahathir, saya sama Kit Siang mahu kerjasama, mahu Parlimen ini kuat dahulu,” katanya. – Roketkini.com